Pertubuhan pendesak pendidikan Cina, Dong Zong, hari ini tampil menyeru agar pekerja syarikat penerbitan akhbar Melayu tertua negara ini, Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) dibela.
Melalui kenyataan dibuat dalam bahasa Cina hari ini, Dong Zong menyeru kerajaan untuk campur tangan secara proaktif bagi menyelesaikan pertikaian di antara majikan dan pekerja Utusan Melayu.
Menurut Dong Zong - atau nama penuhnya Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia - Utusan Melayu perlu memaparkan keadaan kewangan syarikat berkenaan untuk pengetahuan pembaca dan orang awam.
“Kumpulan Utusan Melayu juga perlu membayar gaji tertunggak dan pampasan skim pemisahan sukarela (VSS) mereka,” katanya.
Pada masa sama Dong Zong kesal apabila Utusan Melayu menjadi "banduan" dan itu menjadi punca syarikat berkenaan mengalami kesukaran selepas kerajaan bertukar.
“Oleh kerana faktor sejarah, maka Utusan Melayu menjadi banduan parti politik dan mengalami kesulitan dalam transisi demokrasi Malaysia.
“Dengan bayaran gaji dan pampasan VSS tertunggak lama, pihak pengurusan tidak mematuhi perjanjian di antara majikan dan pekerja, malah keadaan memaksa petugas syarikat itu kehilangan punca rezeki.
"Hanya dengan hak pekerja dijaga barulah mutu pemberitaaan dapat dipertahankan," katanya.
Pemimpin Cina dijemput menulis
- Mana-mana parti politik tidak boleh melabur atau menjalankan operasi media
- Undang-undang digubal untuk memecahkan monopoli media
- Akta dan polisi mengekang media dimansuhkan
- Budaya majmuk perlu dipelihara demi masa depan industri media.
“Semua parti politik dan politikus perlu berdisiplin. Jangan berangan-angan untuk campur tangan dalam hal pengurusan media.
“Buat kerajaan pula, undang-undang untuk menghalang monopoli perlu digubal dan meraikan kepelbagaian pandangan.
"Garis yang memisahkan politik dan media perlu diwujudkan supaya media tidak menjadi lidah rasmi atau pemutar belit,” katanya.
Mengimbas kembali sejarah Utusan Melayu, Dong Zong berkata Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Lim Lian Geok, pernah menerima jemputan daripada syarikat tersebut untuk menulis sempena Hari Raya Puasa pada 1956.
Bertajuk Persoalan Pembinaan Jiwa, Lim berpendapat rakyat berbilang kaum perlu bekerjasama membina negara dengan konsep “kepelbagaian hidup, makmur bersama”.
Bagi Dong Zong, konsep tersebut menjadi nilai teras dalam perjuangan hak budaya majmuk masyarakat Cina selepas ini.
Dong Zong juga menyedari Utusan Melayu menyumbang besar kepada perjuangan antipenjajah dan kemerdekaan Malaya, seterusnya melakar sejarah media Malaysia.
Malangnya, kata Dong Zong, keadaan semasa menjadikan Utusan Melayu tidak dapat mengulangi kegemilangan yang pernah dilakarnya dahulu.
“Tokoh wartawan, sasterawan dan aktivis masyarakat dilahirkan Utusan Melayu begitu menyinar pada 1950-an. Misalnya Said Zahari, Usman Awang, A Samad Said, A Samad Ismail dan Kamaluddin Muhamad (Keris Mas).
“Ketokohan mereka sangat dihormati tetapi malangnya selepasa Utusan Melayu dimiliki sepenuhnya oleh parti politik, kebebasan pengarang dan wartawan dikongkong sehingga kepentingan politik mengatasi nilai akhbar.
“Amat sedih apabila ketika ini pekerja bawahan akhirnya terpaksa menanggung penderitaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan