HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Ogos 2019

Semak semula kaedah pengajaran dan pembelajaran





Yusmizal Dolah Aling

GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyemak semula kaedah pengajaran dan pembelajaran yang ketika ini terlalu berorientasikan kepada peperiksaan serta kerja rumah kepada pelajar.

Presiden GPMS Aliff Anas Md Noor berkata, pihaknya berpendapat bebanan kerja rumah dan persiapan peperiksaan boleh disusun semula menggunakan kemajuan teknologi semasa seperti jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), rangkaian selular 4G dan penggunaan gajet elektronik.

Menurutnya, pihaknya menyeru kepada semua pihak sama ada kementerian, guru, ibu bapa, pentadbir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan untuk bersama dan bermuafakat agar kejadian remaja lelaki berusia 13 tahun bertindak menggantung diri di rumahnya di Taman Seri Relau, Paya Terubong di Georgetown pada Sabtu lalu tidak berulang.


Katanya, pihaknya amat bersimpati dengan kejadian tragis itu dan selaku NGO Pendidikan Melayu, GPMS menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak menuding jari sebarangan sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan mereka.

“Pada masa ini, kita perlu bersama-sama mencari kaedah terbaik agar ia tidak berulang pada masa depan dan pendidikan negara terus maju seiring zaman,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro di Kuala Lumpur hari ini.

Remaja berkenaan dikatakan bertindak demikian akibat tertekan dengan kerja sekolah yang banyak.Hari ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, pihak kementerian akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

Beliau dilaporkan berkata bahawa proses pembelajaran perlu mempunyai konsep kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati dan pihaknya kesal dengan kejadian terbabit.

Berita berkaitan
Siasat kes pelajar gantung diri 'homework' banyak
Hanya sehari tak hadir sekolah
'Gantung diri 'homework' banyak'

Tiada ulasan: