Ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak miliki dokumen sah
Ketua Unit Aduan Risikan Operasi Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Mohd Sharulnizam Ismail berkata, menerusi serbuan di lokasi kira-kira 500 meter ke dalam hutan yang bermula 1.30 pagi itu, pihaknya menahan seramai 80 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 117 orang telah diperiksa dan 80 daripadanya ditahan yang terdiri daripada 70 lelaki dan 10 wanita.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 42 warga Bangladesh, 37 dari Indonesia dan seorang daripada mereka berasal dari Vietnam,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi kira-kira 4 pagi.
Katanya, pendatang tanpa izin yang berusia 20 hingga 45 tahun itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Mohd Sharulnizam, mereka ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen seperti tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen sah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) C akta yang sama.
Mohd Sharulnizam berkata, penempatan itu dipercayai dibina sejak tiga tahun lepas dan serbuan kali ini merupakan kali pertama dilakukan di tempat yang berpagar zink tersebut.
Kediaman sebanyak 50 pintu yang lengkap dengan kemudahan air dan elektrik itu dibuat daripada papan dan zink dan terdapat juga majikan kepada sebahagian pendatang tanpa izin itu membina rumah kontena.
“Kesemua mereka ini dipercayai bekerja di kawasan sekitar ini termasuk di tapak pembinaan. Terdapat juga surau dan kantin dibina di sini. Selain itu, ada ayam-ayam dikurung disangkar dipercayai untuk tujuan sabung,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan