HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Ogos 2019

Laporan polis terhadap Paul Yong ada unsur ugutan, rasuah' - Speaker DUN

MALAYSIAKINI

   
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak Ngeh Koo Ham membuat laporan polis malam tadi berhubung maklumat yang diterimanya berkenaan dakwaan rogol Adun Tronoh Paul Yong Choo Kong.

Menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Ngeh berada di Ipoh sekitar jam 6 petang tadi apabila mendapat maklumat mengenai seorang individu yang dikatakan telah menemani pembantu rumah warga Indonesia itu ketika dia membuat laporan polis.

"(Saya) telah terima maklumat bahawa orang yang membawa pembantu rumah Indonesia YB Yong Choo Kiong (seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak) untuk membuat laporan polis telah menerima wang sebanyak RM100,000.

"Beliau telah diugut dengan sepucuk pistol, untuk tidak membongkarkan rahsia ini.

"Saya mempercayai ada muslihat di belakang dakwaan bahawa YB Yong Choo Kiong telah merogol pembantu rumahnya.

"Saya berharap pihak polis dapat menyiasat dengan lebih lanjut dakwaan yang dibuat oleh pembantu rumah tersebut," kata penasihat DAP Perak itu.

Ngeh yang juga MP Beruas menyebut di dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh bahawa beliau percaya maklumat itu relevan dengan kes melibatkan exco Perak itu.

Yong dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh esok di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menasihatkan exco kerajaan negeri Paul Yong bercuti daripada tugas rasminya kerana bakal berdepan tuduhan merogol amah.

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil maklum keputusan peguam negara untuk mendakwa Yong.

Yong, yang juga bendahari DAP Perak telah menafikan tuduhan itu dan kini dibebaskan di bawah ikat jamin polis.

Pada sidang media singkat selepas membuat laporan polis, Ngeh memberitahu wartawan tujuan laporan polis untuk membantu penyiasatan.

"Saya fikir polis tidak mempunyai maklumat ini ketika mereka (menyelesaikan) siasatan," katanya.


Tiada ulasan: