HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Ogos 2019

Tulisan Jawi: SEKAT ajak pelajar ponteng sekolah sebagai protes terakhir

Shawaliah Hadir

MGF25082019_GabunganSEKAT_02
Jurucakap bagi Pihak Gabungan SEKAT, Arun Dorasamy (tengah) bercakap pada sidang media Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) mengenai mata pelajaran tulisan jawi di sekolah kebangsaan di Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,
 

KUALA LUMPUR – Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) akan menggunakan National Skip School Day sebagai protes dan usaha terakhir agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan pelaksanaan tulisan Jawi.

Setiausaha gabungan itu  Arun Dorasamy berkata, protes itu akan diadakan dengan kerjasama ibu bapa yang mana tidak bersetuju anak-anak mereka belajar tulisan Jawi. 

Justeru ujarnya, KPM perlu mempertimbangkan beberapa aspek sebelum membuat keputusan melaksanakan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu  pada tahun depan.

“Pada akhirnya bila semua ini tidak berhasil, kami akan adakan National Skip School Day, Protes Ponteng Sekolah SeMalaysia dengan kerjasama semua ibu bapa yang tidak mahu anak mereka diajar atau dipaksa belajar Jawi. Ini langkah-langkah yang kita aturkan,” katanya ketika sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini. 

Arun terdahulu mendesak KPM menangguhkan pelaksanaan tulisan Jawi dan mencadangkan agar mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk dari Sabah dan Sarawak. 

SEKAT juga berpendirian bahawa kementerian sepatutnya fokus kepada usaha memperkasakan Bahasa Melayu.

Justeru Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik digesa untuk mengambil kira pendapat pelbagai pihak dan memberikan kepercayaan penuh kepada semua pihak  sebelum memperkenalkan tulisan Jawi di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan Jenis (SJK). 

“Jom kita bincang. Menteri Pendidikan tidak boleh mengenepikan anak jati Sabah dan Sarawak untuk berdialog. Ketiga, semua rakyat setuju kita hendak perkasakan Bahasa Malaysia adalah lebih penting daripada pengenalan Jawi.

“Meskipun ada penerangan beritahu ia tidak ada penilaian tapi kami tidak percaya sebab penerangan tidak jelas,” tambahnya. 

Menyifatkan tulisan Jawi sebagai usaha penerapan agama Islam, Arun turut mendakwa terdapat guru-guru yang bimbang dengan keputusan kerajaan kerana menyedari tidak menguasai tulisan Jawi. 

“Ada  khuatir penguasa Jawi mereka mereka tidak ada mereka takut memperkenalkan Jawi mereka akan kehilangan subjek itu sendiri,” katanya. 

Mengulas lanjut gabungan itu mempertikaikan keputusan terbaharu KPM yang seolah-olah memberikan kuasa kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menentukan pelaksanaan tulisan Jawi bagi SJK.

“Siapa yang berkuasa sebenarnya? Menteri atau PIBG? Baik tak payah buat dasar kalau beri kuasa kepada PIBG,” tambahnya. 

Sebagai langkah awal, gabungan itu akan menghantar memorandum kepada KPM dan kertas kerja cadangan-cadangan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat. 

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Anak Borneo, Gangging @ Ling Sanggau berkata, bantahan anak jati negeri Sarawak seiring dengan situasi di negeri itu di mana majoriti pelajar di Sekolah Kebangsaan adalah bukan Muslim.

Katanya lagi, berbanding tulisan Jawi, memperkasakan bahasa Inggeris juga adalah langkah yang tepat dan sepatutnya dilakukan oleh KPM. 

“Anak jati Sarawak tidak menyokong tulisan jawi dan seni khat belajar di Sekolah kebanyakan di Sarawak anak dayak non muslim saya juga tidak menyokong memandangkan di sekolah agama sudah diajar kenapa nak di ajar di Sekolah Kebangsaan 

“Mewakili Sarawak saya lebih menyokong pandangan Ketua Menteri Sarawak ingin menguasai bahasa Inggeris itu lebih daripada bahasa Jawi. Di Malaysia kita masyarakat majmuk dan pelbagai kaum,” ujarnya. 

Untuk rekod, selepas pelbagai bantahan kerajaan kekal dengan  keputusan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan mulai tahun 2020.

Namun ia perlu mendapat persetujuan PIBG serta ibu-bapa terlebih dahulu.

KPM sebelum ini telah pun memberikan penjelasan tentang pelaksanaan tulisan Jawi yang antara lainnya tidak akan mempunyai penilaian dan taksiran. 

Untuk rekod, sebanyak 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil menolak keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).

Pertubuhan dipimpin Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa, pengenalan tulisan khat bagi murid di dua aliran sekolah terbabit tidak bertepatan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: