Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berharap undang-undang bagi mengawal ucapan kebencian dapat diperkenalkan segera di negara ini.
Katanya, sekarang adalah masa yang tepat untuk undang-undang tersebut diperkenalkan ekoran peningkatan ketegangan hubungan di antara kaum dan agama.
"Terutamanya jika kita lihat apa yang dikatakan di media sosial," katanya seperti dipetik The Star hari ini.
Selain itu anggota parlimen Parit Buntar berkenaan juga berharap Suruhanjaya Keharmonian dan Perpaduan Kebangsaan dapat ditubuhkan pada tahun ini.
Menurut beliau sebelum ini Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan - yang dipengerusikannya semasa kerajaan BN dulu - pernah mencadangkan agar undang-undang mengawal ucapan kebencian digubal.
"Kami buat cadangan. Kami berunding dengan orang awam dan membuat interaksi dengan parti-parti politik serta NGO untuk memperkenalkan Rang Undang-undang Keharmonian dan Perpaduan Kebangsaan, tetapi cadangan kami gagal.
"Apabila kerajaan baru mengambil alih, saya rasakan ia perlu mengambil langkah mencadangkannya semula," katanya.
Beliau juga menekankan, walaupun hak bersuara dijamin perlembagaan, ia tetap perlu dipertanggungjawabkan.
"Sebarang bentuk kebebasan yang disalah guna untuk sebarang tujuan kebencian dan mengancam kehamornian kaum serta agama patut dianggap salah guna kebebasan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan