HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Ogos 2019

Rebut kuasa dengan pemimpin DAP persekutuan punca Exco Perak didakwa rogol, kata sumber

Hakim membenarkan Paul Yong diikat jamin RM15,000 selepas 
Exco Perak itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan 
merogol pembantu rumahnya di Mahkamah Sesyen Ipoh hari 
ini. (Gambar Bernama)
 
PETALING JAYA: Perebutan kuasa antara pemimpin DAP di peringkat persekutuan dan negeri dipercayai punca seorang Exco Perak dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan rogol hari ini.

Sumber memberitahu FMT perebutan kuasa itu bermula selepas pilihan raya umum 2008 apabila Pakatan Rakyat berjaya menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Katanya, parti itu amat gembira dengan kejayaan mereka dan pemimpin, yang kini di peringkat persekutuan, mahu meletak orang sendiri di DAP bahagian untuk memperluaskan kuasa mereka di peringkat negeri.

Seorang pemimpin DAP memberitahu FMT, 2 pemimpin DAP Perak menolak sebarang campur tangan daripada pemimpin parti peringkat persekutuan.
“Inilah saat saingan politik bermula. Dua pemimpin DAP Perak memastikan pemimpin parti persekutuan tidak boleh melantik orang mereka menjadi ketua bahagian.

“Saingan ini bertambah teruk sehingga sesetengah pemimpin Pakatan Harapan yang bosan dengan saingan itu memutuskan untuk (menjadi wakil rakyat) mesra BN.”

Katanya, BN merebut peluang itu untuk merampas Perak dengan memancing mereka yang dianggap tidak gembira dengan situasi di negeri berkenaan.

Pada 2009, saingan menguasai Perak tercetus apabila 3 daripada 32 Adun Pakatan menjadi wakil rakyat mesra BN, mengubah keseimbangan kuasa dalam DUN yang mempunyai 59 kerusi itu.

Sumber itu memberitahu FMT, saingan politik berterusan sejak itu dan menyebabkan Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong didakwa merogol seorang pembantu rumah warga Indonesianya yang berusia 23 tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh pagi tadi.

Semalam, Speaker DUN Perak, Ngeh Koo Ham membuat laporan polis mendakwa lelaki yang membawa pembantu rumah Yong membuat laporan polis terhadapnya dibayar RM100,000.

Beliau percaya ada muslihat di sebalik kes itu kerana mendakwa lelaki terbabit diugut dengan pistol supaya tidak membongkarkan rahsia dan mahu polis membuka semula kes rogol berkenaan.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu semalam menasihatkan Yong yang juga Adun Tronoh bercuti daripada tugas rasmi sehingga perbicaraan kesnya selesai.

Hari ini, selepas mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan rogol itu, Yong dilaporkan berkata, tiada sebab untuk bercuti kerana beliau belum disabitkan bersalah.

Beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara polis menjalankan siasatan.

Sumber itu memberitahu FMT ada pihak dalam DAP yang mempertahankan Yong, tetapi ada juga yang menggesa tindakan diambil terhadapnya.

Katanya, Yong mungkin rapat dengan 2 pemimpin DAP Perak dan menjadi sasaran kumpulan pemimpin persekutuan.

Beliau berkata, mereka yang bersama pemimpin persekutuan menjadi sasaran pemimpin peringkat negeri, begitu juga sebaliknya.

“Kedua-dua pihak masih mahu orang mereka menjadi Exco atau ketua bahagian.

“Dua pemimpin DAP negeri itu mahu ahli DAP peringkat persekutuan tidak campur tangan, tetapi pemimpin peringkat persekutuan merasakan mereka patut mempunyai kuasa ke atas semua negeri.

“Oleh itu, saingan merebut kuasa belum berakhir.”

Tiada ulasan: