HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Ogos 2019

Paras air di Empangan Machap di tahap kritikal

Bernama  |

   

Paras air Empangan Machap yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam dekat Johor Bahru, kini berada di bawah tahap kritikal, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tsee.

Beliau berkata, bacaan yang dicatatkan ketika ini ialah pada paras 14.45 meter, menyusut daripada bacaan 14.63 meter yang direkodkan pada 24 Ogos (Rabu).

Ini bermakna bacaan itu melepasi tahap kritikal iaitu pada 14.84 meter.

“Memandangkan paras air masih di bawah tahap kritikal maka Bekalan Air Berjadual (BAB) yang dijadualkan bermula Isnin ini (2 Sept) terpaksa diteruskan (dimulakan awal),” kata beliau dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Puah berkata, Empangan Machap menjadi sumber air mentah yang menyalurkan air untuk dirawat ke LRA Simpang Renggam sebelum diagih kepada 25,894 pengguna bekalan air di sekitar Pekan Simpang Renggam, Layang-layang dan Utara Pontian.

Berbeza dengan keadaan di Empangan Machap, paras air di Sungai Gembut, Kota Tinggi mencatatkan bacaan terkini pada 0.82 meter, berikutan taburan hujan yang menggalakkan di kawasan itu pada awal minggu ini.

“Susulan perkembangan itu, Kerajaan Negeri dan SAJ Ranhill mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan BAB di kawasan yang bergantung kepada LRA Sungai Gembut.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap isu bekalan air dan tidak akan membenarkan sebarang pelaksanaan BAB sekiranya boleh,” tambah beliau.

LRA Sungai Gembut membekalkan air terawat kepada 5,246 akaun pengguna di sekitar kawasan Kota Tinggi.- Bernama


Tiada ulasan: