HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Ogos 2019

PKR mahu laporan kadar kemiskinan PBB dibincang 'lebih meluas, mendalam'


malaysiakini

   

PKR berpandangan dapatan Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston berkenaan garis kemiskinan yang tidak tepat di Malaysia perlu dibincangkan dengan "lebih meluas dan mendalam".

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulannya yang dipengerusikan presiden Anwar Ibrahim hari ini.

"PKR telah membincangkan kenyataan media Alston berkenaan kemiskinan di Malaysia termasuk isu garis kemiskinan.

"PKR berpendirian laporan pelapor khas PBB ini seharusnya mengundang wacana dan perbincangan yang lebih meluas dan mendalam demi membantu Pakatan Harapan (PH) merangka program ekonomi yang akan mendatangkan kesan positif terutama kepada golongan berpendapatan rendah," katanya dalam kenyataan.

Pada 23 Ogos lalu, Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara iaitu 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah, iaitu dengan Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) RM980 sebulan bagi setiap isi rumah.

Alston dilapor berkata, kadar kemiskinan sebenar Malaysia ialah kira-kira 15 peratus yang hampir dengan negara lain.

Laporan itu susulan lawatan sebelas hari Alston ke pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bagaimanapun menolak laporan itu dan mempertahankan kadar kemiskinan yang direkodkan itu.

"Sementara kerajaan menghargai usaha pelapor khas untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu kemiskinan, komen-komen tertentu adalah tidak berasas," katanya.

Selain itu, MPP PKR berkata mereka turut membincangkan program Konvensyen ‘Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’ di setiap negeri yang akan bermula Oktober.

"Ia sebagai salah satu acara sebelum Kongres Nasional Tahunan yang bakal berlangsung Disember ini," katanya.

MPP PKR turut memaklumkan pendaftaran sejumlah 9,509 anggota baru antara 16 Julai hingga 15 Ogos 2019, serta jumlah cabang berdaftar setakat 15 Ogos yang berjumlah 220 cabang.

"Ini bakal menjadikan PKR sebagai parti yang mempunyai kehadiran di hampir setiap kawasan parlimen di seluruh negara," katanya lagi.


Tiada ulasan: