Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta supaya penyerang, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi berjumpanya secara peribadi, bagi menyelesaikan sebarang masalah dihadapi.
Ahmad Faizal berkata beliau menganggap pemain kebangsaan itu sebagai 'anak sendiri', memandangkan Shahrel Fikri antara pemain yang rapat dengannya, berbanding pemain lain dalam skuad ‘The Bos Gaurus’.
"Shahrel Fikry saya anggap sebagai anak saya sendiri. Jadi tentunya kalau ada masalah saya harap dia dapat berjumpa dengan saya bukan sebagai presiden Pafa, tetapi sebagai ayah dia," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam Negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok.
Rata-rata netizen menganggap tindakan yang dilakukan oleh Muhammad Shahrel itu sebagai tanda kekecewaan, kerana jarang diturunkan sebagai pemain utama oleh ketua jurulatih, Mehmet Durakovic.
"Cerita dia (Shahrel Fikry) memadamkan gambar dalam Instagram dia pun saya tidak tahu, saya pun tidak tahu jika ada masalah dalam skuad (Perak). Terima kasih (wartawan) kerana memaklumkan kepada saya dan saya akan perhatikan," katanya.
Mengulas masa depan Muhammad Shahrel bersama pasukan naib juara Piala FA, Ahmad Faizal mahu pemain berkenaan terus berada dalam pasukan, kerana potensi yang dimiliki oleh jentera penyerang Perak itu.
"Namun sebagai presiden Pafa, saya sentiasa menghormati keputusan yang dibuat oleh Exco Pafa dan pengurus pasukan.
"Kita tidak boleh ada banyak kepala, tak boleh ada banyak jeneral. Kalau kita dah buat keputusan untuk memberi tangungjawab kepada seseorang itu, kita perlu menghormati keputusan yang dibuat," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan