HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Ogos 2019

2 lagi parti sertai kerjasama Umno-PAS, umum Hadi

Abdul Hadi Awang.
 
PUTRAJAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini mengumumkan penyertaan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dalam kerjasama Umno-PAS.

Hadi berkata demikian selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi melibatkan PAS, Ikatan dan Berjasa hari ini. Turut hadir pada sidang media petang tadi adalah Presiden Ikatan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Naib Presiden Berjasa, Mohd Hazizi Ab Rahman.

“Mesyuarat bersetuju untuk mengambil beberapa ketetapan seperti berikut, antaranya menerima kerjasama ‘politik penyatuan ummah’ antara PAS dan Umno di atas kerangka ‘ta’awun siyasi’ (tolong menolong dalam politik),” katanya.

Hadi berkata Ikatan dan Berjasa menyertai kerjasama itu menerusi Gagasan Sejahtera, sebuah pakatan politik yang ditubuhkan selepas perpecahan Pakatan Rakyat pada 2015.

Ikatan merupakan parti berbilang kaum yang membawa idea-idea perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, manakala Berjasa membawa idea-idea Islamisme.

Kadir berkata penerimaan Ikatan dalam Gagasan Sejahtera bermakna PAS menerima konsep “Bangsa Malaysia” yang dibawa partinya.

“Bahawa di negara ini, parti politik akan melindungi kepentingan semua kaum dan agama,” katanya.
Sementara itu, Hadi mengumukan ketetapan dan isi kandungan piagam kerjasama Umno-PAS sudah dimuktamadkan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan piagam yang akan ditandatangani pada 14 September.

“Ia sudah dirangka. Nanti lahir anak baru beri nama,” katanya.

PAS dan Umno bersetuju untuk bekerjasama atas dasar tolong menolong dalam semua isu melibatkan kepentingan nasional, bukan sahaja isu Islam dan Melayu semata-mata.

Tolong-menolong itu menyaksikan Barisan Nasional menang pada pilihan raya kecil DUN Rantau, DUN Semenyih dan Parlimen Cameron Highlands.

Tiada ulasan: