HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Ogos 2019

SIS patut dilindungi, bukan diserang, kata peguam selepas keputusan mahkamah atas fatwa





KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan peguam amat bimbang dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Sisters in Islam untuk mencabar fatwa Selangor pada 2014 yang mengisytiharkan ia sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Lawyers for Liberty (LFL) yang kecewa dengan tindakan pihak berkuasa menyasarkan SIS di sebalik usaha mereka memperjuangkan hak asasi manusia selama berdekad, berkata SIS sepatutnya dilindungi.

Penyelaras undang-undang LFL, Zaid Malek berkata fatwa itu membuat “pengisytiharan umum yang SIS dan ‘mana-mana individu, pertubuhan serta institusi’ yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan kemajmukan agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”.

Fatwa itu turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat mana-mana laman web yang bertentangan ajaran Islam dan hukum syarak.

Zaid dalam kenyataan hari ini berkata, Mahkamah Tinggi itu bukan saja mengisytiharkan mahkamah sivil tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman ke atas fatwa, tetapi ia turut memutuskan SIS tidak kebal daripada fatwa itu.

“Ini membimbangkan atas 3 faktor: pertama, Mahkamah Persekutuan memutuskan di bawah Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa kehakiman terletak secara eksklusif pada Mahkamah Tinggi sivil dan bidang kuasa mereka tidak terhad kepada undang-undang persekutuan; kedua, Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas SIS yang merupakan sebuah syarikat dan ketiga, perlindungan korporat hanya boleh dibatalkan, contohnya dalam kes penipuan, tetapi ia tidak sesuai dalam kes ini dan mempunyai kesan rumit ke atas entiti korporat di Malaysia.”

Zaid mendapati SIS aktif memperjuangkan hak wanita dalam Islam selama berdekad, contohnya klinik undang-undang percumanya, Telenisa yang menyediakan bantuan tanpa penghakiman kepada kira-kira 10,000 wanita dan lelaki atas hak mereka di bawah undang-undang keluarga Islam serta syariah.

Katanya, untuk mewajarkan “fatwa tidak bertoleransi” itu bermakna semua usaha baik SIS bertentangan ajaran Islam.

“Seperti pejuang hak asasi manusia lain, SIS memainkan peranan penting dalam mempromosi dan melindungi hak asasi untuk semua.

“Mana-mana pihak berkuasa agama tidak patut mengisytiharkan mereka sesat. Berbuat demikian akan menyebabkan ia membuka ruang bagi tindakan lanjut diambil terhadap mereka, sama ada oleh kerajaan atau mereka yang bukannya pihak berkuasa.

“Oleh itu, kami menggesa pihak berkuasa melindungi semua pejuang dan pertubuhan hak asasi manusia yang penting dalam memastikan mereka dapat bekerja dalam persekitaran selamat serta bebas daripada serangan, tindakan balas dan sekatan tidak munasabah.”

Zaid turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa untuk menyelesaikan isu itu.

Tiada ulasan: