HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Ogos 2019

Kerajaan akan bertemu pemegang taruh sebelum cetak silibus Jawi

Tiga halaman baru tulisan Jawi akan digunakan dalam silibus 
Bahasa Melayu Tahun Empat tahun depan.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan akan mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh berkaitan sebelum 3 halaman baru tulisan Jawi dalam silibus Bahasa Melayu untuk murid Tahun Empat tahun depan dicetak, FMT difahamkan.

Sumber memberitahu bahawa tidak ada rancangan untuk menangguhkan pengajaran tulisan Jawi yang dijadualkan bermula Januari ini, diikuti dengan pengenalannya kepada murid Tahun Lima dan Enam dalam tempoh 2 tahun akan datang.

Sumber yang enggan dikenali berkata, kementerian sedang membuat pindaan terakhir ke atas kandungan pelajaran tulisan Jawi seperti dikehendaki oleh Kabinet.

“Apabila kami telah bersedia, kami akan beritahu mereka (pemegang taruh)”, kata sumber, dengan menambah bahawa semua kalangan, termasuk pihak yang lantang mengkritik langkah itu akan dirundingi.

Sumber juga memberitahu, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat kerana proses percetakan buku teks berkenaan mengambil masa.
Kabinet memutuskan pelajaran khat ditukar nama kepada tulisan Jawi dan diperkenalkan dalam silibus sekolah vernakular tahun depan walaupun dibantah banyak pihak, termasuk persatuan pendidikan Cina, Dong Zong.

Pelajaran tulisan Jawi itu bagaimanapun dijadikan pilihan dan tidak dimasukkan dalam peperiksaan.

Kabinet juga bersetuju pelajaran tulisan Jawi akan hanya diperkenalkan dengan persetujuan persatuan ibu bapa guru (PIBG) dan ibu bapa murid.

Semalam gabungan 30 NGO dan parti politik dari semenanjung, Sabah dan Sarawak menggesa kerajaan menangguhkan pengajaran tulisan Jawi sehingga perbincangan yang telus dengan semua pihak berkaitan diadakan.

Setiausaha Gabungan Badan Bertindak Seni Khat (Sekat) Arun Dorasamy berkata, tidak ada presentasi atau perbincangan dengan Kementerian Pendidikan, selain menambah bahawa keputusan berhubung perkara itu dibuat secara terburu-buru.

“Gabungan ini membantah pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi dalam silibus, terutama dalam kalangan pelajar bukan Islam.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan bertegas untuk meneruskan keputusan memperkenalkan tulisan Jawi tanpa membincangkannya dengan pihak berkaitan, Sekat akan menganjurkan “Hari Tidak Hadir ke Sekolah” di seluruh negara bagi menunjukkan bantahan mereka dengan kerjasama ibu bapa yang tidak mahu anak mereka mempelajari Jawi.

Ini katanya adalah langkah terakhir bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Sumber FMT bagaimanapun menolak dakwaan Arun bahawa langkah memperkenalkan tulisan Jawi dibuat secara terburu-buru dengan berkata, ia dibuat sejak 2014 semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Ia berkata pemegang taruh telah dirundingi sejak itu.

Tiada ulasan: