HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Ogos 2019

Tolak kes cabar fatwa satu ‘hadiah’ kemerdekaan

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF12062019_PC-PEGUAM_14
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Sisters in Islam (SIS) mencabar fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Selangor berhubung fatwa NGO itu sesat dianggap sebagai ‘hadiah’ sempena sambutan kemerdekaan.

Presiden Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, penghakiman tersebut menunjukkan jatidiri negara telah dapat dipertahankan dan struktur asas negara yang meletakkan kedudukan istimewa agama Islam dinobatkan.

“Sebentar tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hakim telah memutuskan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor dan diwartakan yang antara lain memutuskan SIS Forum Berhad terpesong dari ajaran Islam adalah sah dan tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang.

“Mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa meneliti fatwa tersebut kerana ianya terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah,” tulis beliau menerusi hantaran terbaharu di Facebook hari ini.

Hakim, Nordin Hassan berkata, Jawatankuasa Fatwa Selangor telah mengeluarkan fatwa berkenaan berlandaskan enakmen negeri itu.

Beliau berkata, perlembagaan negara memperuntukkan perkara berkaitan undang-undang syariah berada di bawah bidang kuasa negeri.

Jawatankuasa Fatwa Selangor mengeluarkan fatwa SIS sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam pada 17 Julai 2014.

Fatwa berkenaan kemudiannya digazetkan pada 31 Julai tahun sama.

SIS memfailkan semakan kehakiman pada Oktober 2014 untuk mencabar keputusan berkenaan.

NGO itu turut memohon perisytiharan, mereka diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai company limited by guarantee tidak tertakluk dan terikat dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.

Dalam pada itu, Zainul Rijal turut berterima kasih kepada semua peguam yang terlibat mengendalikan kes yang difailkan sejak lima tahun lalu.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: