HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Ogos 2019

Henti tuduh Zakir Naik ekstremis dan penyebar fitnah, gesa mufti Pulau Pinang



GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor mempertahankan Dr Zakir Naik dengan menggesa rakyat Malaysia tidak bersikap berat sebelah dan berhenti mendakwa pendakwah kontroversi itu ekstremis atau penyebar fitnah.

Beliau mendakwa mereka yang menyerang Naik hari ini takut berdepan dengannya disebabkan kehebatannya dalam perbandingan agama.

“Beliau sebenarnya seorang yang amat terbuka dan sanggup berdialog dengan sesiapa saja secara ilmiah dan rasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salim berkata, rakyat perlu ingat Islam ialah agama rasmi di Malaysia dan pendakwah perlu diberi lebih ruang untuk menyebarkan ajarannya berbanding agama lain di negara ini.
Sebagai umat Islam, katanya, mereka bertanggungjawab menyebarkan ajaran Islam kepada semua orang.

“Mereka mesti bersikap baik sangka terhadap usaha dakwah yang bertujuan memberi pencerahan mengenai prinsip-prinsip akidah (kepercayaan) dan amalan yang terkandung di dalam ajaran agama Islam, di samping berusaha menyingkirkan perasaan fobia atau prasangka terhadapnya.

“Mereka juga perlu tahu Islam tidak suka memaksa sesiapapun untuk menerimanya sebagai anutan.

“Islam adalah agama sebenar yang datangnya dari Allah yang mencipta manusia dan alam semesta.
Ini bukan keyakinan kosong yang lahir daripada perasaan taksub membabi buta, tetapi berdasarkan fakta sejarah dan saintifik kuat, di samping bersandarkan teks agama (Islam) yang tiada keraguan lagi tentang kesahihannya.”

Ahad lalu, Wan Salim dilaporkan berkata, lebih baik tidak membawa Naik ke Pulau Pinang untuk berceramah buat seketika kerana ceramahnya sering menimbulkan kontroversi dan dijadikan polemik oleh pihak tertentu.

Naik dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman pada Jumaat lalu dan semalam, selepas lebih 100 laporan polis dibuat terhadapnya susulan kenyataannya mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Selepas disoal siasat polis selama 10 jam, Naik hari ini memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul, tetapi beliau tetap mempertahankan kenyataannya dipetik luar konteks.

Tiada ulasan: