HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Ogos 2019

Zahid: Hadi jadikan dunia lebih baik

MALAYSIAKINI

   

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Abdul Hadi Awang di kediamannya, di Kajang, pagi tadi.

Menurut maklumat yang diperoleh media semalam, pertemuan itu berlangsung kira-kira jam 11 pagi tadi.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan untuk membuat liputan mengenai pertemuan dua parti dominan orang Melayu itu.

Mengulas secara ringkas di laman sosial Facebooknya, Ahmad Zahid berkata pertemuan antara pemimpin parti itu hari ini amat positif.

"Ada beberapa insan yang membuatkan dunia ini lebih baik kerana keberadaannya. Kalian adalah salah seorang dari insan tersebut.

"Pertemuan dan perbincangan saya dan rakan-rakan kepimpinan Umno bersama YB Dato seri presiden PAS dan saf kepimpinan PAS di kediaman saya.

"Pertemuan dan perbincangan amat positif dan memperkukuhkan lagi penyatuan ummah," tulis Ahmad Zahid di Facebooknya.

Umno dan PAS membentuk kerjasama politik selepas BN tewas buat pertama kalinya dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Kerjasama yang dikenali sebagai "taawun siyasi" oleh PAS itu bertujuan membentu kerjasama politik bagi menghadapi PRU yang akan datang.

Untuk rekod Umno dan PAS akan memeterai satu piagam ataupun perjanjian kerjasama yang dijadualkan berlangsung 14 Sept nanti.

Umno dan PAS menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 ahli dan penyokong parti pada majlis yang penuh bersejarah itu.

Dalam pada itu di Facebooknya, Ahmad Zahid turut memuat naik gambar-gambar pertemuan mereka yang turut dihadiri pemimpin parti masing-masing.

Antara pemimpin Umno yang hadir pada pertemuan itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; tiga naib presiden iaitu Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid dan Khaled Nordin; Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa dan Bendahari Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Barisan pemimpin PAS yang hadir pula Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Malaysiakini dimaklumkan pertemuan itu memberi fokus kepada agenda penyatuan ummah yang akan berlangsung termasuk membincangkan piagam yang bakal dimeterai.

Selepas Ahmad Zahid, Abdul Hadi malam ini turut memuat naik gambar pertemuan mereka pagi tadi di kediaman bekas timbalan perdana menteri itu.

"Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Muafakat membawa berkat.

"Islam memimpin perpaduan," tulis Abdul Hadi di Facebooknya.


Tiada ulasan: