HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Ogos 2019

Peguam punca ulat mahkamah

Mohammad Arif Nizam
 MGF270819_LAWATANKHASKEMAHKAMAH09
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen), Datuk Liew Vui Keong bercakap selepas membuat lawatan khas di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 
PETALING JAYA – Golongan peguam didakwa menjadi faktor utama yang menyebabkan kegiatan ulat yang semakin berleluasa di bangunan mahkamah tertentu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, golongan tersebut dipercayai menggunakan ulat mahkamah sebagai rakan kongsi ke atas kegiatan yang menyalahi undang-undang itu.

Menurut beliau, kedua pihak itu akan menyasarkan ahli keluarga atau rakan tertuduh yang kurang pengetahuan mengenai kes atau prosedur mahkamah.

“Kerjasama peguam dan ulat mahkamah jelas sekali mencemarkan profesion perundangan dan menjejaskan kes mahkamah.

“Mereka ini bersekongkol dan dalangnya adalah firma guaman yang membenarkan ulat membuat bisnes yang tidak beretika dengan mempergunakan ahli keluarga dan rakan tertuduh.

“Dalam keadaan terdesak dan kurang pengetahuan, mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan ulat mahkamah ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media baru-baru ini mengenai aktiviti ulat mahkamah yang dikesan semakin berleluasa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dipercayai berlaku lebih setahun lalu.

Ulat mahkamah menawarkan ddiri menjadi pengantara antara peguam dan mahkamah bagi menyelesaikan kes dengan bayaran tertentu.

Vui Keong menambah, tindakan hanya boleh dikenakan ke atas peguam yang terbabit sekiranya mendapat aduan daripada pengadu atau mangsa.

Namun kata beliau, sehingga kini belum terdapat kes terhadap mana-mana peguam.

“Peguam yang terbabit dalam kegiatan ini boleh didakwa mengikut seksyen 15A Akta Kesalahan kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM500,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Sapi itu berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan kemudahan asas seperti tandas, penghawa dingin dan lampu di bangunan mahkamah di negara ini dalam usaha memberi keselesaan kepada kakitangan dan orang yang datang berurusan.

Pada masa sama, pihaknya merancang untuk menubuhkan satu mahkamah baharu yang serba canggih dalam mengurang kos dan beban semua pihak apabila ia dilengkapi dengan sistem computer termasuk lintas langsung secara video bagi kes-kes permohonan awal. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: