HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Ogos 2019

Himpunan bantah jawi bukti ‘sisi’ buruk sekolah vernakular

Oleh Fazleen Safina

 

Pemuda Isma gesa Tun M mulakan langkah bentuk sekolah satu aliran

BANGI – Perhimpunan Bantah Tulisan Khat Sekolah Tamil yang diadakan di Little India, Brickfields Jumaat lalu, membuktikan kegagalan pelaksanaan falsafah pendidikan negara, kata Exco Penerangan Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muslim Abdullah Zaik.

Bahkan, katanya, tindakan penganjur dan peserta himpunan berkenaan juga memberikan bukti ampuh keburukan sekolah vernakular dalam sistem pendidikan negara.

Beliau turut kesal sikap kumpulan berkenaan yang berterusan menentang, meskipun kerajaan sudah melonggarkan syarat pelaksanaannya dengan menjadikan ia hanya sebagai mata pelajaran pilihan (optional), termasuk menghadkan kepada tiga muka surat sahaja.

“Bagi saya tindakan undang-undang atau pun dialog dengan golongan penentang ini hanyalah tindakan sia-sia kerana ia tidak menyelesaikan masalah yang lebih utama.

“Justeru, Pemuda Isma menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menilai semula kedudukan sekolah vernakular dan memulakan langkah secara berperingkat bagi membentuk sekolah satu aliran,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Jumaat lalu, kira-kira 500 individu terdiri daripada masyarakat India berhimpun di hadapan pancuran air di Little India, bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan tulisan jawi di sekolah-sekolah Tamil.

Susulan itu, dua individu ditahan kerana menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semalam, 24 kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pelaksanaan pengenalan jawi dan khat sehingga mendapat jawapan yang jelas mengenai masalah itu.

Setiausaha Pasukan Tindakan Seni Khat (Sekat), Arun Dorasamy berkata, kumpulan itu sedang berusaha mengadakan dialog dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian baik mengenai perkara itu.


Tiada ulasan: