HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Ogos 2019

Tak bermakna Allah tak hina kamu bila PAS kamu khianati'

MALAYSIAKINI

   

Kekalahan bekas menteri besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, dalam pemilihan Amanah kawasan Gopeng semalam turut mendapat perhatian salah seorang ulama kanan PAS.

Anggota Jawatankuasa Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik, dalam satu hantaran di Facebook berkata, satu persatu tokoh-tokoh ternama dalam Amanah kecundang atau kalah dalam pemilihan parti itu di seluruh negara.

"Saya pernah menulis dua tiga bulan yang lalu mengenai Ikram (Pertubuhan Ikram Malaysia) yang akan hijack Amanah.

"Semua sedang berlaku di setiap penjuru negara. Satu persatu tokoh-tokoh yang ada nama dalam kalangan pimpinan Amanah kecundang dan kalah," katanya sambil membuat kepilan tangkap layar berita Malaysiakini semalam.

Beliau yang juga mengisi salah satu tempat dalam Jawatankuasa Pusat PAS juga berkata pemimpin terbabit sebelum ini keluar meninggalkan parti berkenaan selepas kalah dalam pemilihan dan mengecam mereka.

"Maka sekarang kamu nak keluar pergi ke mana pula? Agak-agak berani tak maki Amanah dan tubuh parti baru pula?"

Nizar ialah bekas pemimpin pertengahan PAS yang dilantik menjadi menteri besar ke-10 Perak selepas gabungan pakatan parti itu dengan PKR dan DAP berjaya mendapat kerusi majoriti melalui PRU ke-12.

PAS tak maksum tapi...

Bagaimanapun perebutan kuasa dan pembelotan beberapa Adun Pakatan Rakyat menyaksikan gabungan itu tidak dapat bertahan dan BN kembali menjadi menteri besar.

Najib Razak dinyatakan sebagai antara watak penting membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan membawa Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar ke-11 Perak.

Najib pada April lalu mendedahkan beliau berusaha secara "senyap-senyap" bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membawa kedua-dua parti - yang berseteru selama berpuluh-puluh tahun - menjalinkan kerjasama.

Langkah itu diambil selepas Umno dan BN gagal terus menjadi kerajaan pusat, dan PAS pula hanya menguasai Kelantan dan Terengganu melalui PRU ke-14 pada tahun lalu.




Nizar ialah Adun Sungai Rapat dan dianggap berpofil tinggi hasil usahanya mendapatkan semula kuasa untuk Pakatan Rakyat di Perak.

Ketika ini beliau ialah Timbalan Pengerusi Amanah Perak di bawah Asmuni Awi. Semalam Nizar gagal menempatkan diri dalam kalangan 15 calon teratas anggota jawatankuasa (AJK) Amanah Gopeng.

Tidak seperti sesetengah parti, Amanah mengamalkan dasar musyarawah dalam kalangan 15 calon tertinggi peringkat kawasan untuk memilih ketua masing-masing.

Nizar semasa mengangkat sumpah sebagai MP Bukit Gantang
Mokhtar kemudian melanjutkan kritikannya dengan menyarankan pemimpin Amanah terbabit agar mempelajari agama di pondok dan belajar hidup tanpa jawatan.

"Suka saya berpesan, bahawa kamu pergi ke pondoklah. Belajar agama dan didik diri kenal tasawuf serta banyakkan amal ibadah.

"Perbanyakkan sedekah dan istighfar atas kesalahan kamu sebelum ini yang khianati PAS serta maki ulama-ulama PAS.

"PAS tidak maksum, tapi tidak bermakna Allah tidak akan menghina kamu bila PAS ini kamu khianati.

"Yang menang atas tiket PAS lepas itu bawa lari kerusi dan gaji itu lebih perlu banyak istighfar.Bukan senang nak minta halal dengan semua ahli PAS yang telah kamu khianati dan fitnah," katanya.

Bekas ketua dewan ulama PAS Pahang itu menggesa supaya difikirkan perkara yang diperkatakannya itu.

"Belajarlah hidup tanpa jawatan. Rebut-rebutlah saf pertama dalam solat berjemaah di masjid-masjid.
"Umur dah tua, jadi tak payahlah lagi jadi khadam DAP. DAP pun tak pandang dah kamu bila tiada jawatan dalam parti," katanya.


Tiada ulasan: