Pelantikan anggota Pemuda Bersatu sebagai penyelaras pembangunan sukan negeri-negeri tidak dibincang di peringkat Pemuda Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda DAP Howard Lee.
Beliau berkata ini kerana ia merupakan pelantikan kementerian dan bukannya parti.
"Perlantikan ini tidak dibincang di peringkat pemuda PH kerana ia merupakan lantikan kementerian dan bukan parti," katanya ketika dihubungi.
Beliau ditanya berkenaan pelantikan 13 angggota Pemuda Bersatu sebagai pegawai penyelaras sukan di setiap negeri, kecuali Sarawak, yang berkuatkuasa 21 Ogos.
Laman Facebook Pemuda Umno Tebrau kemudian memuat naik imej yang dikatakan sebagai senarai pegawai yang dilantik - bersama nama dan jawatan dalam Pemuda Bersatu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim mempertahankan pelantikan itu dan berkata ia dibuat berdasarkan prosedur perkhidmatan awam sedia ada.
"Jadi saya rasa tiada masalah sama ada orang (yang dilantik) itu daripada kumpulan, persatuan atau parti mana," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Ikatan Shahir Adnan mengkritik pelantikan itu dan mendakwa ia sebagai langkah Menteri Belia dan Su
kan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mendapatkan sokongan dalam pemilihan Bersatu yang bakal diadakan.
"Kami menganggap lantikan politik ini dibuat di saat Bersatu bakal mengadakan pemilihan parti dan Syed Saddiq (sebagai ketua pemuda) mahu mendapatkan sokongan di peringkat akar umbi negeri-negeri.
"Apabila lantikan politik dibuat, fokus mereka yang dilantik adalah untuk mengekalkan jawatan dan hanya berkiblatkan ketua pemuda, bukannya kegemilangan sukan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoal proses pelantikan 13 individu itu dan kelayakan mereka untuk melaksanakan tugas yang diberikan.
Setiausaha Pemuda MIC Theeagesh Ganesan pula berkata Syed Saddiq cuba menguatkan Bersatu di kalangan golongan belia.
"Pegawai yang dilantik mungkin akan mempengaruhi pertubuhan belia dan sukan untuk agenda politik mereka," katanya yang berkata campur tangan politik dalam perkara itu berisisko menjejaskan prestasi dan pencapaian dalam soal berkaitan belia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan