HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Ogos 2019

MIC: Syed Saddiq patut lebih sopan walau tak setuju


   

Meskipun secara peribadi tidak bersetuju dengan ugutan kumpulan yang membantah Jawi, Ahli Jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC M Veeran berpendapat Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seharusnya lebih sopan dalam membuat kenyataan.

Veeran merujuk kenyataan Syed Saddiq yang mengkritik kumpulan yang mengugut untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana membantah pembelajaran Jawi sebagai sikap "bodoh sombong.

"Sekiranya menteri kurang senang dengan keputusan tersebut, beliau boleh memberi ulasan dengan sopan, bukan terus mengkritiknya sebagai 'bodoh sombong'.

"Bagaimana jika ada orang dakwa anda (Syed Saddiq) sebagai 'kurang waras' kerana pendiriannya sering berubah dalam isu Dr Zakir Naik," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Pasukan Bertindak Seni Khat (Sekat) dilapor menuntut agar kerajaan mengadakan dialog dengan mereka berhubung cadangan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Sekat berkata mereka akan meyakinkan ibu bapa agar berhenti menghantar anak masing-masing ke sekolah sebagai tanda protes sekiranya kerajaan enggan berbuat demikian.
Susulan itu, Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda Bersatu (Armada) menggelar kumpulan tersebut sebagai "bodoh sombong".

"Sanggup menghalang anak dari dapat pendidikan hanya kerana takut tiga muka surat berkenaan jawi yang tidak dimasukkan ke dalam peperiksaan dan sudah pun opsyenal (pilihan).

"Kamu tidak boleh lebih bodoh sombong daripada ini," ciapnya di Twitter semalam.

Sementara itu, Veeran berkata, kumpulan Sekat tidak seharusnya melibatkan murid dalam isu berkenaan.

"Kita tidak boleh melibatkan murid sekolah dalam isu tulisan Jawi. Tapi kita juga tidak boleh menggelar mereka (kumpulan Sekat) dengan perkataan kurang sopan," tambahnya.

Isu pelantikan KBS

Dalam perkembangan isu lain, pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan sekali lagi menegaskan bahawa mustahil bagi KBS melantik 13 pegawai daripada parti yang sama tanpa mengetahui latar belakang mereka.

Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Theeagesh Ganesan mendakwa jawapan Syed Saddiq berkenaan isu pelantikan 13 orang Pegawai Belia dan Sukan Negeri daripada kalangan pemimpin sayap pemuda Bersatu sebagai tidak bertanggungjawab.

"Seperti dijangka dia mempertahankan keputusan kementeriannya bahawa pelantikan itu tidak menjadi masalah selagi ia mengikut proses dan prosedur.

"Dia turut menyatakan mustahil baginya untuk ketahui kecenderungan politik 4,000 staf KBS.

Langsung tidak masuk akal penjelasan Syed Saddiq yang dia tidak mengetahui kecenderungan politik kakitangannya, termasuk 13 orang yang dilantik ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pemuda MIC turut menggesa Syed Saddiq menjelaskan sama ada pelantikan tersebut merupakan pelantikan politik.

"Tidak perlu mencari alasan bagi menidakkannya. Seperti yang kami katakan sebelum ini, kronisme memang budaya PH.

"Jika Syed Saddiq antara paling lantang menentang lantikan politik sebelum ini, akhirnya dia sendiri tidak terkecuali dari mempraktikkannya," kata Theeagesh.


Tiada ulasan: