Ketika Kelantan diumum sebagai negeri termiskin di Semenanjung Malaysia, kerajaan Kelantan menyatakan banyak sudut perlu dilihat untuk dibuat penilaian lebih tepat.
Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah berkata, meskipun ramai rakyat negeri ini tidak mempunyai kerja tetap tetapi mereka memiliki harta seperti tanah, kebun dan rumah sewa.
"Orang Kelantan ini kadang-kadang duit tak ada, tapi harta dia banyak. Dia ada tanah, kebun dan rumah sewa, orang tengok dia tidak ada duit berdaftar tetapi dia ada pendapatan yang tak diisytihar.
"Jadi merujuk pangkalan data e-Kasih mengenai rakyat miskin dan jumlah peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sahaja tidak memadai untuk dijadikan penunjuk yang lebib tepat. Kita tak tolak data itu tapi banyak sudut perlu diambil kira," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.
Statistik dalam pengkalan data e-Kasih sehingga Jun lalu menunjukkan miskin tegar di Kelantan adalah seramai 6,218 orang manakala golongan miskin seramai 31,217 orang.
Sementara itu Mohd Amar sempat berseloroh walaupun Kelantan negeri miskin, tetapi mempunyai 65 penerbangan setiap hari menggunakan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
"Kalau kita tengok penerbangan, ada 65 penerbangan (di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra) setiap hari dan hampir penuh, takkan orang miskin naik kapal terbang?
"Sebab itu saya kata kena tengok pelbagai sudut. Kalau daftar e-Kasih dan jumlah pinjaman AIM sahaja tidak tepat dan sebab itu banyak pihak yang mempertikai," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan