HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Ogos 2019

Gojek mampu kurangkan kes dadah

Rizanizam Abdul Hamid


PERKHIDMATAN teksi motosikal e-hailing atau Gojek dilihat mampu mengurangkan kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia khususnya mat motor di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Izhar Abu Talib berkata, ini kerana kumpulan itu adalah mereka yang paling berisiko tinggi untuk terbabit dalam dadah.

“Namun jika mat motor ini dapat kita ubah pemikiran dan minat mereka daripada jadi mat motor tanpa apa-apa matlamat dan kita libatkan mereka dalam aktiviti membawa Gojek, saya rasa ini perkembangan positif.

“Sedikit sebanyak kita dapat mengurangkan kecenderungan mereka untuk terbabit dalam gejala sosial lain terutama penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program ‘Community Empowerment’ Bersama Komuniti 7 kawasan Berisiko Tinggi (KBT) AADK negeri di Akademi Laut Malaysia (ALAM) Kuala Sungai Baru, Alor Gajah hari ini.

Hadir sama Pengarah AADK negeri Nazir Mohamad.

Pada 17 Ogos lalu, Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilapor mengadakan kaji selidik di media sosial mengenai cadangan memperkenalkan Gojek di Malaysia yang tujuannya untuk membantu golongan muda membina perniagaan kecil.

Menurutnya, perkhidmatan itu untuk membantu golongan mat motor mendapat peluang pekerjaan selain membantu usahawan muda untuk menjual barangan mereka dengan perkhidmatan berkenaan.

Empat hari kemudian, mesyuarat Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan KBS untuk melaksanakan Gojek namun KBS dan Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu tampil dengan perincian undang-undang secepat mungkin sebelum ia boleh dilaksanakan.



Tiada ulasan: