HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Ogos 2019

Fuziah, Wong Tack bukan pakar radioaktif

Wartawan MalaysiaGazette
MGF04072017_SIDANG-MEDIA-EKSPRESI-FELDA06
Abdul Shahrir Abdul Samad .

KUALA LUMPUR – Sekarang terbukti Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack bukanlah pakar dalam radioaktif.

Ini kerana pandangan mereka mengenai operasi kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) tidak diterima pakai oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

Jadi selama ini, kedua-dua ahli Parlimen Pakatan Harapan itu didakwa hanya berpura-pura tentang bahaya radioaktif yang dimomokkan sehingga menyamakan operasi kilang tersebut  Chernobyl.

Tan Sri Abdul Shahrir Abdul Samad mendakwa, sekarang juga sudah jelas Fuziah dan Wong juga berpura-pura daripada segi integriti politik mereka.

Bidas veteran UMNO itu, pilihan bermaruah bagi mereka ialah meletakkan jawatan kerana perjuangan mereka menentang operasi Lynas di Gebeng, Pahang tidak diakui oleh kerajaan yang dipimpin dalam gabungan parti mereka.

Shahrir berkata, meskipun Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin masih terikat kepada tanggungjawab bersama kabinet namun ia bukan penghalang untuk mempertahankan integriti politiknya.

“Tapi ia tidak memeranjatkan sesiapa kalau ketiga-tiga ahli Parlimen PH ini terus akan tersengih dan terus kekalkan kedudukan mereka dalam kerajaan.

“Alasannya? Tunggu YB Anwar Ibrahim pula jadi PM. Dia mungkin lebih condong kepada emosi dan tidak kepada fakta sains. Apapun, integriti politik ialah untuk UMNO dan BN, bukan untuk ahli Parlimen PH,” katanya.

Baru-baru ini, perdana menteri berkata, kerajaan akan tetap berpegang kepada keputusan berhubung pembaharuan lesen operasi kilang nadir bumi, Lynas dan ia mengikut pandangan pakar serta saintis yang memahami mengenai bahaya sisa radioaktif.

Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh selalu mendengar pandangan popular terutamanya apabila ada segelintir pihak yang menggunakan media alternatif untuk menyalurkan idea mereka sehingga siapapun yang menentang akan dikecam.

“Sekarang saya mahu mengikut apa yang dilaporkan oleh pakar. Jika ia merupakan bahan sangat berbahaya, maka kita tentu akan menyelesaikannya, tetapi laporan itu mengatakan bahawa (ia) tidak berbahaya… sisa diletakkan di satu tempat sahaja.

“Mungkin terdapat satu penumpuan… kita bersedia untuk menyuraikannya tetapi kita tidak boleh eksport kerana tiada siapa yang mahu menerimanya, dan kita tidak boleh membuangnya ke laut juga kerana ikan akan mati,” kata perdana menteri. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: