HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Jun 2020

100 hari PN: Dr Zul kongsi pengalaman

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mampu ‘berbangga’ dengan pencapaiannya selama 100 hari hasil usaha yang telah dilaksanakannya walaupun dengan bilangan tenaga kerja yang kecil.

Menterinya, Dato’ Dr Zulkifli al-Bakri berkata, antara usaha terbabit adalah pihaknya telah menggerakkan program kebajikan melalui Musaadah Covid-19.

Menerusi program berkenaan katanya, sebanyak sepuluh kelompok menjadi golongan sasar yang memerlukan bantuan di seluruh Malaysia dengan perbelanjaan sudah mencecah RM196.3juta sehingga Mei 2020.

“Bermula 18 Mac 2020, kita menjelajah dari Perlis hingga ke Sabah bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dalam ruang lingkup kemampuan kami. Di Sabah dan Sarawak, JAKIM dan YADIM juga memainkan peranan.

“Alhamdulillah, kerjasama antara MAIWP, Bank Islam dan SMB Corp membuahkan hasil yang bermanfaat kepada umat Islam.” ujarnya.

Tambah Zulkifli, golongan usahawan dan asnaf yang kehilangan punca pendapatan turut
mendapat perhatian daripada mereka melalui inisiatif program pembiayaan mikro i-Teka.

“Mikro i-Teka merupakan program kewangan sosial yang bertujuan untuk menyokong dan memudahkan pembiayaan bagi usahawan mikro B40 dan asnaf yang kehilangan punca pendapatan dan perniagaan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Jumlah dana yang diperuntukkan sejumlah RM5.3juta,” jelasnya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, kementeriannya juga giat memperkemaskan medium penyampaian
saluran maklumat yang lebih kemas dan sistematik.

Dalam ucapannya, usaha baik mereka turut dipertingkatkan dengan pelaksanaan Kad Laporan Bulanan dan laman sesawang yang lebih mesra dan informatif kepada rakyat.

“Kami telah melancarkan laman sesawang www.mira.gov.my pada minggu lepas.

“Alhamdulillah, walaupun baru tiga, empat hari dilancarkan kunjungan sudah melebihi 20,000
pelawat.

“Saya telah memperkenalkan Kad Laporan Bulanan yang membolehkan masyarakat meneliti apa yang telah kami laksanakan sepanjang 100 hari ini dan ianya boleh dibaca dan dimuat turun di laman sesawang tersebut,” jelasnya lagi.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut berkongsi perancangan masa hadapan bagi kesejahteraan rakyat dengan usaha yang sedang dijalankan.

Katanya, antara perancangan tersebut penyusunan semula kitab tafsir Al-Quran berbahasa Melayu agar lebih membumi dengan sosio budaya Malaysia.

Ini termasuk usaha penterjemahan hadith yang sedang dijalankan dan bakal dilancarkan pada awal 2021.

Pelbagai lagi usaha baik kementerianya dalam memastikan kebajikan rakyat akan terus terpelihara.
Di samping beliau akan sentiasa menjadikan sosial media sebagai satu medan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat Malaysia.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: