PERJALANAN lima sekeluarga menziarahi saudara mengundang tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya terbabas dan terhumban ke dalam parit di Kilometer 119 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bertam, Kepala Batas malam tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Ruszamil Mohd Fazil, 20, yang juga pemandu kenderaan dan juga ibunya, Rusnah Osman, 60.
Mereka menaiki Proton Exora itu dikatakan dalam perjalanan dari Taiping, Perak ke Sungai Petani, Kedah sebelum terbabit dalam kemalangan pada 10.45 malam.
Difahamkan, Muhammad Ruszamil dipercayai gagal mengawal kenderaan yang dipandunya sebaik tiba di lokasi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ia menyebabkan kenderaan itu terbabas sebelum terhumban ke dalam parit sedalam kira-kira empat meter.
Menurutnya, tiga lagi penumpang iaitu dua abang pemandu, Mohd Fairus, 36, dan Muhammad Faizul, 30, serta anak saudaranya, Muhammad Faizureen Abdul Muhaimin, 2, parah.
"Kelima-lima mangsa terperangkap dalam kereta dan dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam manakala tiga lagi dikeluarkan oleh anggota bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorzainy berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu.
"Sebaik dapat dikeluarkan pasukan perubatan yang berada di lokasi mendapati dua beranak itu sudah meninggal dunia.
"Mayatnya dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat," katanya.
Menurutnya, dua mangsa yang parah dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Kedah.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan