HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Jun 2020

AG mesti jelaskan keputusan bebaskan Musa Aman: Peguam

Peguam Negara, Idrus Harun mesti menjelaskan keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman atas 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, kata seorang peguam.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini disebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan kenyataan pada 5 Nov 2018, di mana suruhanjaya itu memperoleh maklumat baru mengenai kes tersebut selepas menutup siasatan pada Julai 2012.

Peguam veteran itu mempersoalkan mengapa pihak pendakwaan memutuskan untuk menggugurkan kesemua 46 pertuduhan tersebut hari ini, sedangkan SPRM sendiri pada 9 Nov 2018 menyatakan telah memperoleh "maklumat baru berhubung kes tersebut", yang mendorong badan antirasuah itu mendakwa Musa pada 5 November 2018.

Haniff berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana peguam Musa Aman hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa tiada pertuduhan dibuat berhubung siasatan pada tahun 2012.

"Saya katakan bahawa ia adalah amat penting untuk Pejabat Peguam Negara di bawah teraju Tan Sri Idrus Harun memberikan satu penjelasan yang lengkap dan terperinci supaya tiada timbulnya mana-mana persepsi negatif mahupun kesangsian di minda rakyat," kata Haniff.

Katanya, dua persoalan tersebut adalah:

i) Sama ada pendakwaan Musa Aman pada 5 Jun 2018 telah dilakukan tanpa asas yang munasabah di sisi undang-undang;

ii) Ataupun perintah "lepas dan bebas" terhadap Musa Aman pada hari ini adalah bertentangan dengan kenyataan SPRM bertarikh 9 November 2018, dan tanpa asas yang munasabah di sisi undang-undang.

"Saya amat berharap agar satu kenyataan awam daripada Tan Sri Idrus Harun dapat dikeluarkan sesegera mungkin, untuk mengukuhkan keyakinan Rakyat berhubung pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membebaskan dan melepaskan Musa daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan konsesi balak di Sabah.

Tiada ulasan: