HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Jun 2020

Buka tadika bermula Julai dedahkan anak-anak kepada bahaya

Keputusan kerajaan untuk membuka semula prasekolah dan tabika mulai 1 Julai ini disifatkan sebagai tindakan yang boleh membahayakan nyawa kanak-kanak terbabit.

Menurut bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad kerajaan tidak berlaku adil kepada anak anak kecil tersebut.

Mereka akan terdedah kepada risiko kerana belum berupaya dan tidak mungkin boleh menguruskan diri sendiri dalam keadaan ibu bapa tidak bersama di prasekolah atau tabika.

“Bagaimanakah guru akan mengawal pergerakan serta aktiviti anak kecil yang sangat aktif dan dinamik yang memang secara semula jadinya suka berinteraksi secara rapat dan dekat? Ini adalah situasi yang amat sukar malahan hampir mustahil untuk dilaksanakan.

“Adakah kerana ingin memudahkan ibu bapa kembali berkerja sepenuh masa untuk tujuan memulihkan ekonomi negara, keputusan ini telah diambil oleh kementerian yang berkenaan secara mendadak?” tanya Raja Kamarul Bahrin.

Menurut beliau, Ketua Pengarah Kesihatan, Dato Noor Hisham pada 16 Mei lalu menyatakan kanak-kanak dibawah usia 12 tahun adalah golongan berisiko tinggi menerima jangkitan COVID-19.

“317 kes melibatkan anak dibawah usia 12 tahun dan 112 kes adalah dibawah usia 4 tahun. Negeri Selangor, dengan 77 kes adalah yang tertinggi bagi mereka di bawah 12 tahun diikuti oleh Negeri Sembilan 48 kes, Johor 46 kes dan Kuala Lumpur termasuk Putrajaya 28 kes.

“Apakah jaminan kerajaan ancaman ini telah berlalu memandangkan statistik ini belum pun sampai satu bulan?” tanya Senator dari Parti Amanah Negara itu.

Beliau turut mempersoalkan adakah kerajaan telah merujuk kepada para pendidik dan pakar berkenaan sebelum mencapai persetujuan membuka sekolah atau ianya satu keputusan politik untuk kepentingan perniagaan serta ekonomi.

Jelas Raja Kamarul Bahrin Shah, banyak negara memulakan sekolah secara dalam talian untuk memelihara keselamatan anak anak.

“Setelah pihak KKM dan frontliner kesihatan berjaya membendung penularan COVID19 dengan baik, janganlah kerajaan mensia siakan usaha KKM dengan mendedahkan anak kecil pula kepada risiko jangkitan COVID19 dengan membuka tabika dan prasekolah terlalu awal.

“Wang ringgit perniagaan negara boleh diusahakan bila bila masa tetapi keselamatan nyawa anak yang terlalu muda tidak harus diperjudikan hanya untuk memesatkan ekonomi negara pada ketika ini. Kebijaksanaan kerajaan diperlukan dalam menangani isu ini,” kata Raja Kamarul Bahrin Shah.-SM

Tiada ulasan: