HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Jun 2020

DAP Buat Anwar Dalam Dilema.. Nantikan Kena Game Dengan Atuk Lagi..


DAP hari ini mendedahkan perancangan berkenaan kebuntuan dalam "PH plus" dalam soal calon perdana menteri.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, beberapa minggu ini PH dan sekutunya telah meneroka dua kombinasi pilihan bagi jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Kombinasi pertama melibatkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.

Bagaimanapun ia tidak menerima sokongan daripada sekutu PH, justeru cadangan baru dibangkitkan, iaitu menggandingkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dengan Anwar sebagai timbalannya.

Menurut Loke, ketika mesyuarat "PH plus" pada 9 Jun, kedua-dua pilihan itu dibincangkan dengan Warisan membantah kombinasi Anwar-Mukhriz dan Mahathir mencadangkan beliau diberi masa enam bulan untuk memimpin.

Kemudian satu mesyuarat susulan dibuat pada 13 Jun untuk meneliti pilihan kedua iaitu menggandingkan Mahathir bersama Anwar selepas kombinasi Anwar - Muhkriz menemui jalan buntu.

Kata Loke, dengan pilihan gandingan Mahathir - Anwar itu, mereka menyerahkan kepada presiden PKR berkenaan untuk membuat keputusan sama ada menerimanya atau tidak.

"Tarikh akhir sepatutnya semalam. Tetapi sehingga kini kita tidak mendengar apa-apa dari Anwar secara rasmi. Ini adalah kedudukannya sekarang," katanya.

Dengan mengambil kira perkara itu, Loke menggesa PKR agar tidak berlengah dan menyatakan pendirian berkenaan perkara itu.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini hari ini, bekas menteri pengangkutan itu berkata PKR sepatutnya menyatakan pendiriannya semalam (16 Jun) tetapi setakat ini ia belum disampaikan.

Katanya, penting untuk PKR menyatakan sama ada parti itu bersetuju atau tidak dengan cadangan itu.

"Perlu ada hala tuju jelas berkenaan langkah ke hadapan. Tidak boleh ada ketidakpastian...Sebaik saja kita buat keputusan, kita boleh melangkah ke depan. Inilah pendirian DAP.

"Kami memutuskan untuk bercakap (secara terbuka) hari ini kerana kami mahukan keputusan. Kami mahu tarikh akhir ditepati dan tidak mahu sebarang kepimpinan yang tidak tegas dalam PH," katanya.

Terdahulu hari ini, Anwar memohon maaf bagi pihak PH kerana belum dapat memuktamadkan calon perdana menteri.

'Warisan bantah kombinasi Anwar-Mukhriz'

Sementara itu, Loke berkata beliau diberi kuasa oleh DAP untuk menyatakan secara terbuka perincian rundingan dalam "PH plus" kerana tarikh akhir 13 Jun untuk PKR sudah berlalu.

"Kini masanya untuk meletakkan hal ini dalam perspektif. Kami tidak mahu penyokong kami dalam keadaan terawang-awang. Perlu ada hala tuju jelas daripada kepimpinan. Semua orang keliru dengan apa yang sedang berlaku.

"DAP sedia untuk bercakap kerana tarikh akhir telah berlalu semalam. Kami ada tanggungjawab untuk memaklumkan penyokong, anggota Parlimen dan ahli berkenaan apa yang berlaku dan pendirian parti," katanya lagi.

Loke menjelaskan bahawa DAP konsisten menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri sejak 7 Januari 2018, ketika Bersatu menyertai PH.

Pada hari itu, penandatangan untuk keempat-empat parti menyatakan mereka menyokong Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar akan menggantinya.

Sebaik saja selepas "Langkah Sheraton", kata Loke, PH sekali lagi menegaskan sokongan kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baru tetapi ketua pembangkang itu tidak dapat menarik sokongan yang mencukupi.

Susulan itu, PH setuju untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri baru, tetapi ia sudah terlambat memandangkan Istana Negara telah memutuskan pada 29 Februari bahawa Muhyiddin Yassin memiliki cukup sokongan untuk menjadi perdana menteri baru.

Selepas pertukaran kerajaan, Loke berkata parti-parti dalam PH serta sekutu mereka meneroka kemungkinan untuk membentuk semula kerajaan demi memenuhi mandat pengundi.

Katanya, mengambil langkah sebaliknya merupakan suatu yang tidak bertanggungjawab.

"Bagi DAP, kami tidak boleh mengecewakan penyokong kami. Jadi kami perlu mendapatkan semula mandat rakyat.

"Kami tidak akan kata kami sedia untuk kekal sebagai pembangkang kerana rakyat mengundi PH untuk menjadi kerajaan.

"Mandat kami telah diambil, maka kami perlu cuba yang terbaik untuk mendapatkannya semula," katanya lagi.

Ketika peringkat awal perbincangan, Loke berkata PH telah mencadangkan kombinasi Anwar-Mukhriz tetapi Warisan tidak setuju dan maka kombinasi Mahathir-Anwar dibangkitkan.

Beliau berkata Warisan tegas mahu Mahathir memimpin kerana parti itu percaya beliau mampu mendapat jumlah sokongan yang diperlukan untuk membentuk majoriti.

Mahathir juga mencadangkan beliau diberi enam bulan untuk memimpin sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

"Bagi kami, dua pilihan telah pun dibincangkan oleh PH, dan pendirian alternatif (fallback position) kami adalah untuk Mahathir memimpin dan kemudian Anwar mengambil alih selepas satu sela masa.

"Selepas keputusan itu, kami memutuskan bahawa kini terpulang kepada Anwar sama ada beliau setuju atau tidak. Tarikh akhir sepatutnya semalam. Setakat ini kami belum mendengar apa-apa keputusan daripadanya," katanya lagi.

Tiada ulasan: