HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Jun 2020

Fadhlullah Suhaimi dilantik ketuai SKMM

SKMM akan menyemak semula skop tugas dan tanggungjawabnya untuk memberi
fokus kepada peranan utamanya.

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah mengumumkan Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang baru selama 2 tahun bermula esok.

Fadhlullah menggantikan Al-Ishsal Ishak yang berkhidmat sejak Oktober 2018.

Fadhlullah yang juga naib canselor dan ketua pegawai eksekutif Universiti Perdana, ialah bekas ahli SKMM yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam sektor telekomunikasi.

Saifuddin dalam kenyataan hari ini turut mengumumkan pelantikan Zamzamzairani Mohd Isa sebagai penasihat telekomunikasi kepada menteri komunikasi dan multimedia.

Zamzamzairani yang juga pengerusi UEM Sunrise Bhd, pernah menerajui Telekom Malaysia sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan serta mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor telekomunikasi.

Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek

Sementara itu, Saifuddin berkata, dasar SKMM akan ditambah baik sebagai penyesuaian terhadap normal baru susulan Covid-19, selain merancang dan melaksanakan program tertentu mengikut urutan prioriti serta secara mampan bagi jangka panjang.

Beliau berkata, penambahbaikan dasar melibatkan 3 aspek utama, iaitu infrastruktur, persediaan untuk 5G serta urus tadbir dan institusi.

“Usaha meningkatkan liputan infrastruktur jalur lebar yang lebih luas dan berkualiti tinggi di kawasan bandar, subbandar dan luar bandar akan dipercepatkan.”

Dalam usaha persediaan 5G, Saifuddin berkata, strategi pengagihan spektrum akan diperbaiki untuk memastikan penggunaan optimum.

“Struktur industri juga akan disemak semula untuk memastikan kemampanan industri dan keseimbangannya dengan kepentingan pengguna dalam jangka panjang.”

Bagi meningkatkan prestasi urus tadbir dan ketelusan institusi, Saifuddin berkata, kuasa menteri akan disemak semula supaya wujud sistem semak dan imbang.

Katanya, SKMM akan menyemak semula skop tugas dan tanggungjawabnya untuk memberi fokus kepada peranan utamanya, termasuk memperbaiki struktur organisasi serta menambah baik bidang tertentu seperti perundangan, audit dan sumber manusia.

“Saya yakin dengan pelantikan Fadhlullah sebagai pengerusi baru serta usaha penambahbaikan ini, kita dapat mengukuhkan lagi peranan dan prestasi SKMM demi memberi manfaat kepada rakyat dan negara.”

Tiada ulasan: