KAPAL membawa kira-kira 300 pelarian Rohingya yang didakwa berselindung di Pulau Koh Adang, Laut Andaman di selatan Thailand sebelum ini, kini gagal dikesan.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kapal berkenaan tidak lagi dikesan berada di pulau berkenaan.
"Setakat ini tidak pasti di mana kapal itu berada, kemungkinan ia berpatah balik menuju ke Myanmar atau Bangladesh.
"Bagaimanapun pemantauan dan pemeriksaan akan dijalankan bagi mengesan warga asing yang dibawa masuk melalui perairan negara," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada 10 Jun, kapal berkenaan didapati berselindung di sebalik pulau berkenaan iaitu kira-kira 26 batu nautika dari Pulau Langkawi.
Difahamkan, kapal yang dikendalikan sindiket penyeludupan pendatang terbabit sudah berada di perairan Thailand sejak empat bulan lalu selepas bertolak dari Cox Bazar, Bangladesh pada Februari lalu.
Mereka didapati berselindung di belakang Pulau Koh Adang dan dipercayai sedang menyusun strategi untuk masuk semula ke perairan negara.
Sebanyak dua kapal yang membawa pelarian ini bergerak pada Februari lalu, namun salah satu kapal mengalami masalah enjin dan bocor di perairan Malaysia 8 Jun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan