HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Jun 2020

Kerajaan digesa buka sempadan lebih awal dari 31 Ogos

Kerajaan menarik balik sekatan ke atas pelancongan domestik, tetapi sempadan
negara masih ditutup sehingga 31 Ogos ini.

PETALING JAYA: Persatuan pelancongan utama di Malaysia menyambut baik langkah kerajaan menarik balik larangan rentas negeri, tetapi berharap pelancongan antarabangsa akan dibenarkan secepat mungkin.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Tan Kok Liang berkata pengumuman perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) ialah permulaan baik kerana pelancongan domestik boleh kembali beroperasi.

Bagaimanapun, katanya, kelewatan lanjut untuk membuka semula sempadan antarabangsa negara akan terus menjejaskan industri pelancongan yang mempunyai lebih 3.5 juta pekerja.

“Kami berharap kerajaan akan menilai semula pembukaan sempadan lebih awal dari 31 Ogos untuk memperkukuhkan lagi aktiviti ekonomi,” katanya kepada FMT.

Tan juga berharap kerajaan Sabah dan Sarawak tidak akan melaksanakan sekatan tambahan, seperti syarat sijil kesihatan untuk pelancong.

Katanya, industri pelancongan sudah bersiap sedia untuk pembukaan semula sektor itu dengan menyediakan pelbagai protokol dan prosedur kesihatan serta keselamatan.

Ini termasuk membersihkan kenderaan persiaran dan bagasi, merekod suhu badan penumpang serta mengurangkan kapasiti tempat duduk dalam bas persiaran bagi memastikan penjarakan sosial. Van 8 tempat duduk hanya dibenarkan membawa 4 penumpang setiap masa.

“Permintaan lemah dan terdapat keperluan untuk meningkatkan keyakinan melancong. Pakej pelancongan akan mengikuti norma baru yang merangkumi aktiviti mendaki, mengembara dan lawatan peribadi.”

Beliau berkata, ia akan memulakan pameran digital September ini berbanding Pameran Matta yang diadakannya setiap tahun.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia, Emmy Suraya Hussein berkata, PKPP ialah berita baik buat industri itu kerana pelancongan domestik dibenarkan beroperasi semula.

Katanya, ramai pelanggan yang menginap di hotel bajet ialah pelancong dan mereka yang melakukan perjalanan perniagaan.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan perjalanan rentas negeri dan aktiviti pelancongan domestik dibenarkan mulai 10 Jun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, sempadan negara boleh dibuka selepas 31 Ogos jika jumlah jangkitan Covid-19 kekal rendah ketika PKPP.

Rakyat tidak dibenarkan melancong ke luar negara dan warga asing dilarang masuk ke Malaysia sejak perintah kawalan pergerakan mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Menteri Pelancongan, Nancy Shukri berkata, pembukaan semula sektor pelancongan domestik mulai 10 Jun ini akan membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonominya kerana pelancongan membabitkan hotel, pengangkutan, restoran dan pemandu pelancong.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia, Mohd Khalid Harun berkata langkah itu akan meningkatkan permintaan pengguna, khasnya dalam sektor pengangkutan dan makanan, serta membantu pengusaha industri kecil dan sederhana yang teruk terjejas akibat penularan Covid-19.


Tiada ulasan: