HALAMAN SANTAI

Sabtu, 13 Jun 2020

Kompaun RM1,000 dikenakan ke atas individu ingkar kuarantin wajib, kata menteri

Setakat semalam, 478 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Singapura, UAE, China, Bangladesh,
Hong Kong, Mesir, India, Indonesia dan Brunei.

PUTRAJAYA: Individu yang mengingkari proses kuarantin wajib dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengingatkan individu yang dikenakan kuarantin wajib supaya berada di dalam bilik masing-masing dan tidak berlegar-legar di dalam rumah.

“Mereka yang baru pulang dari luar negara perlu jalani kuarantin wajib dan patuhi SOP ditetapkan,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Pada 8 Jun, Ismail berkata, mereka yang ketika ini dikuarantin selepas pulang dari luar negara boleh menyambung baki tempoh kuarantin itu di rumah mulai 10 Jun.

“Mereka boleh balik (ke rumah) dan digalakkan memuat turun aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, setakat semalam, 478 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, UAE, China, Bangladesh, Hong Kong, Mesir, India, Indonesia dan Brunei.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 475 individu diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala 3 lagi dihantar ke hospital.

“270 individu juga tiba melalui pintu masuk di negeri Johor dan diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah,” katanya.

Tiada ulasan: