KUALA KUMPUR: Seorang lelaki yang tular kerana berjaya mencuri RM600,000 dari sebuah bank dalam 20 minit tanpa menggunakan senjata pada 2017, dipenjara 5 tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Nurfarahain Roslan menjatuhkan hukuman itu terhadap R Kartik, 31, seorang pemandu lori, selepas mendapati dia bersalah memecah masuk bilik kebal dan mencuri RM600,000 milik Bank HSBC.
Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam dan penjara 6 bulan jika gagal membayar denda.
Nurfarahain membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Selepas meneliti dan menilai keterangan yang dikemukakan pihak pembelaan, mahkamah juga melihat secara keseluruhan dan membaca hujahan pendakwaan serta pembelaan.
“Oleh itu, mahkamah mendapati R Kartik bersalah dan dihukum penjara 5 tahun dan denda RM8,000,” katanya.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Bank HSBC, Tingkat 1, Annexe Menara Milenium, Jalan Damanlela, Pusat Bandar Damansara Height antara 1 tengah hari hingga 2.05 petang 8 Sept 2017.
Terdahulu, Kartik yang diwakili peguam K Ponnusamy merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertamanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang pula berkata, kes itu mengambil masa lama untuk diselesaikan.
“Akibat daripada perbuatan tertuduh, HSBC telah menanggung kerugian… Kes ini juga telah mendapat perhatian meluas pada 2017. Saya mohon hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.”
Perbicaraan kes itu bermula September 2018 dengan 13 saksi pendakwaan dan 4 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Mengikut keterangan saksi utama pendakwaan, tertuduh menyamar sebagai juruteknik pemadam api berbekalkan beberapa dokumen sebelum keluar dengan wang tunai RM600,000.
Saksi itu memberitahu mahkamah, tertuduh ditunjukkan lokasi pemadam api sebelum kejadian kecurian wang berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan