HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Jun 2020

Noor Hisham dedah 2 asas kejayaan Malaysia hadapi Covid-19

Ketua Pengarah Kesihattan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM
mewajibkan individu yang balik dari luar negara menjalani kuarantin apabila
sampai ke negara ini.

PUTRAJAYA: Terdapat 2 perbezaan utama dalam pendekatan Malaysia bagi mengurangkan jangkitan wabak Covid-19 berbanding negara lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini termasuklah keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengkuarantin dan merawat semua kes positif Covid-19 di hospital, sama ada individu terbabit menunjukkan gejala penyakit atau sebaliknya.

“Di beberapa negara lain, walaupun mereka positif, tanpa gejala atau dengan gejala ringan, mereka dikuarantin dan dirawat di rumah.

“Tetapi di sini, jika mereka positif, kita akan kuarantin di hospital, walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang gejala. Jadi itulah yang kita lakukan berbanding negara lain, ” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai gelombang baru jangkitan Covid-19 di negara China.

Noor Hisham berkata, KKM juga mewajibkan individu yang balik dari luar negara menjalani kuarantin apabila sampai ke negara ini.

Katanya, ini tanpa mengira sama ada ia adalah perintah pengasingan diri di rumah atau kuarantin wajib di pusat yang ditetapkan oleh KKM.

“Walaupun mereka yang pulang ke Malaysia sekarang boleh menjalani pengasingan diri di rumah, tetapi itu masih merupakan kuarantin wajib.

“Sekiranya kita dapat lakukan ini, maka kita dapat memastikan tidak berlakunya jangkitan dari luar negara yang masuk ke Malaysia. Lebih penting lagi, kita perlu mengawal penularan tempatan,” katanya.

Noor Hisham berkata, perbincangan mengenai kolaborasi penyelidikan vaksin Covid-19 dengan negara China masih berjalan.

Beliau berkata, negara itu kini sedang melakukan ujian klinikal vaksin tahap 2. Laporannya dijangka siap pada November atau Disember tahun ini.

“Jjika laporan itu baik dan layak, pada fasa ke-3 penyelidikan, kita akan secara sukarela menjalankan percubaan di Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: