HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Jun 2020

Noor Hisham sebak umum persaraan ‘panglima perang’ Dr Rohaizat

Dr Rohaizat Yon yang bersara wajib pada 10 Jun ini pada sidang media
bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah. (Gambar
Unit Komunikasi Korporat KKM)

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan persaraan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr Rohaizat Yon, seorang “panglima perang” yang bersara wajib selepas berkhidmat lebih 30 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan persaran Rohaizat di penghujung sidang media Covid-19 hari ini dengan nada sebak.

“Dengan berat hati saya maklumkan hari ini hari terakhir salah seorang ‘panglima perang’ saya, iaitu Rohaizat, akan bersara wajib pada 10 Jun setelah berkhidmat selama 35 tahun 10 hari bersama pasukan kementerian mengharungi dan memerangi wabak Covid-19.”

Hisham mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen tinggi yang beliau tunjukkan sepanjang berkhidmat kepada rakyat, disambut tepukan gemuruh pegawai kementerian dan petugas media.

Sementara itu, Rohaizat dalam ucapan ringkas pada sidang media sama menasihatkan rakyat patuhi tatacara operasi standard, seperti penjarakkan sosial yang dianggap sebagai “vaksin” yang ada ketika ini.

“Kita lihat hari ini bahawa ini membuahkan hasil yang amat cemerlang. Mungkin esok atau lusa kita tidak akan kesan sebarang kes positif Covid-19. Kes-kes Covid-19 akan jadi sifar,” katanya.


Tiada ulasan: