HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Jun 2020

Peraturan PKPP diwartakan dalam undang-undang

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Menteri Kesihatan, Adham Baba, semalam menandatangani peraturan yang berkuatkuasa di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020 yang berkuat kuasa mulai hari ini (10 Jun) hingga 31 Ogos.

Ia susulan fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hari Ahad lalu.

Antara aktiviti yang dilarang dalam itu:

1. Penganjuran acara dan pertandingan sukan

2. Sukan sentuh

3. Aktiviti taman tema air dan taman air

4. Aktiviti kolam renang (selain aktiviti kolam renang di kolam renang di rumah persendirian dan di kolam renang untuk kegunaan persendirian di premis penginapan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482]) kecuali untuk latihan atlet negara yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020

5. Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan pelancong asing memasuki Malaysia

6. Aktiviti di pusat karaoke, tempat permainan kanak-kanak di pusat membeli belah dan pusat hiburan keluarga

7. Aktiviti di dalam pub dan kelab malam, kecuali perniagaan restoran di dalam pub dan kelab malam

8. Menyedang pakaian, penggunaan bilik acu di kedai pakaian, mencuba aksesori fesyen di kedai dan menyediakan sampel penguji kosmetik di kedai.

9. Aktiviti refleksologi dan urut di pusat kesihatan dan kecantikan

10. Aktiviti kapal persiaran.

11. Apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

"Peraturan-Peraturan ini hendaklah terpakai bagi kawasan tempatan jangkitan yang diisytiharkan di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 [P.U. (A) 87/2020] sebagaimana yang dilanjutkan dari semasa ke semasa," menurut warta itu.

Selain dari kegiatan yang dilarang, peraturan tersebut menetapkan tiada seorang pun boleh masuk ke dalam atau keluar dari suatu tempat yang tertakluk kepada perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) kecuali mana-mana orang yang memberikan perkhidmatan jagaan kesihatan dan perubatan atau yang diberikan kebenaran oleh pegawai diberi kuasa.

Peraturan tersebut juga melarang sebarang aktiviti perarakan, dengan menyatakan "Tiada seorang pun boleh dengan apa-apa cara menyertai atau terlibat dalam apa-apa perarakan".

Perhimpunan keagamaan di tempat-tempat ibadat masih tertakluk kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Begitu juga mengenai pengangkutan awam, jumlah maksimum kapasiti penumpang yang boleh dibawa menaiki pengangkutan awam darat, laut atau udara, pemegang mana-mana lesen atau izin pengangkutan awam darat, laut atau udara untuk membawa penumpang memastikan bahawa pengangkutan awam yang berkaitan dengan lesen atau izinnya yang membawa sejumlah penumpang adalah tertakluk kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Di bawah pewartaan itu juga, mana-mana warganegara, pemastautin tetap Malaysia, ekspatriat atau kor diplomatik, atau mana-mana orang asing lain yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, yang memasuki Malaysia dari luar negara hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan apabila tiba di Malaysia sebelum mendapatkan pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk dan hendaklah mematuhi apa-apa arahan seseorang pegawai diberi kuasa.

Sekiranya mereka diarahkan menjalani kuarantin di rumah, individu tersebut harus memakai gelang tangan yang disediakan oleh pegawai yang diberi kuasa.

Pegawai yang diberi kuasa juga boleh meminta apa-apa maklumat yang berhubungan dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit daripada mana-mana orang atau kumpulan orang.

Selain itu, Ketua Pengarah juga boleh mengeluarkan apa-apa arahan mengikut apa-apa cara, sama ada secara am atau khusus, kepada mana-mana orang atau kumpulan orang supaya mengambil apa-apa langkah bagi maksud mencegah dan mengawal apa-apa penyakit berjangkit termasuk apa-apa arahan kepada mana-mana orang atau kumpulan orang yang melakukan, menganjurkan, mengusahakan, atau yang selainnya terlibat dalam, apa-apa aktiviti selain aktiviti terlarang yang dinyatakan dalam jadual (warta).

Menurut pewartaan, sesiapa yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan atau arahan Ketua Pengarah atau pegawai yang berwajib, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Tiada ulasan: