Di sebalik kegawatan penularan wabak Covid-19, jelas terpancar rasa gembira pada wajah 166 orang gelandangan yang selama ini hidup tanpa arah tujuan termasuk merempat di kota metropolitan Kuala Lumpur ini.
Mereka kini boleh berdikari menerusi program khas penempatan pekerjaan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur dan 19 agensi lain.
Program tersebut dilaksanakan selepas gelandangan ini “diselamatkan” dalam operasi DBKL di beberapa kawasan termasuk sekitar Masjid India, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Bangkok Bank semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) lepas.
Setakat ini, seramai 70 daripada 166 orang gelandangan itu sudah mula bertugas di tujuh buah syarikat termasuk McDonald's, Jaya Grocer dan Tesco.
Sementara 96 orang yang lain akan mengikuti program khas Projek Pembungkusan Sarung Tangan oleh Syarikat Top Glove Corporation Bhd. Program ini akan dilaksanakan di Pusat Transit Gelandangan, Jalan Ampang dan Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu (pusat bandar Kuala Lumpur).
Setakat April lepas, DBKL menyelamatkan 864 gelandangan dan menempatkan mereka di 12 pusat komuniti dan dewan serbaguna yang dijadikan penempatan sementara.
Gelandangan dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu penagih dadah, pesakit mental, pekerja yang tiada tempat tinggal dan juga penganggur yang tiada kediaman.
Sememangnya nasib baik gelandangan ini amat melegakan namun persoalannya, apakah ia akan berterusan selepas PKP nanti?
Pelbagai kerisauan
Walaupun Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa memberi jaminan bahawa 800 gelandangan yang diselamatkan sepanjang tempoh PKP akan ditawarkan bekerja di sektor perkilangan atau pekerja am bagi memastikan golongan itu tidak kembali merempat selepas tamat tempoh PKP, ia masih menimbulkan pelbagai kerisauan.
Paling utama, sejauh mana peluang gelandangan ini, terutama wanita akan mendapat pekerjaan memandangkan prospek ekonomi Malaysia diramal suram pasca wabak Covid-19. Sebanyak 93 peratus syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka berdepan perniagaan tidak stabil dalam tempoh enam bulan akan datang.
Ini kerana gelandangan juga terpaksa bersaing dengan mereka yang diberhentikan atau kehilangan pekerjaan.
Menurut laporan media tempatan, pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu untuk membendung penularan wabak Covid-19 memberi impak besar kepada lebih 650,000 majikan di seluruh negara yang kedudukan mereka diibaratkan bagai telur di hujung tanduk. Sekurang-kurangnya juga 15,000 orang pekerja swasta sudah diberhentikan sejak Mac lalu.
Tidak menolak kemungkinan jumlah gelandangan akan bertambah dalam fasa pemulihan Covid-19 di samping keadaan mereka khususnya gelandangan wanita tidak akan lebih baik apabila PKP berakhir nanti, Profesor Madya di Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rohaiza Rokis bagaimanapun menjelaskan ia semua bergantung kepada sikap gelandangan itu sendiri.
“Pertambahan atau pengurangan jumlah gelandangan ini turut bergantung kepada sektor pekerjaan yang dipilih. Jika ia melibatkan sektor seperti pembersihan, mungkin gelandangan wanita tetap ada peluang pekerjaan dan mendapat gaji tetap untuk mereka meneruskan kehidupan.
“Apa yang penting, jika golongan ini benar-benar ingin berubah kepada kehidupan yang lebih baik, mereka jangan memilih kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Cabaran kerajaan
Pengalaman ditindas serta dimanipulasi oleh dalang atau sindiket mengupah gelandangan juga akan menjadi antara cabaran pihak kerajaan untuk memastikan golongan ini kekal bekerja walaupun ditawarkan gaji yang antara RM1,200 dan RM1,400.
Menurut Rohaiza, ada sindiket yang menjadikan gelandangan wanita yang bekerja dalam sektor pembersihan, warga emas dan mereka yang sukar mencari pekerjaan di pasaran buruh formal sebagai sasaran untuk dimanipulasi dengan pilihan pekerjaan yang terhad serta bekerja berjam-jam dengan gaji rendah.
“Pada masa yang sama, kewujudan stigma terhadap mereka yang kehilangan tempat tinggal sering mengakibatkan golongan ini berdepan dengan diskriminasi untuk mendapat tawaran pekerjaan, sedangkan gelandangan ini mungkin bekas pekerja profesional yang mencari pekerjaan di pasaran buruh secara formal," katanya.
Rohaiza menambah, terdapat pelbagai faktor mengapa seseorang itu memilih untuk menjadi gelandangan.
Malah ada kajian turut mendapati situasi ini boleh berlaku akibat krisis jangka panjang atau pendek, yang sekaligus menyebabkan seseorang itu lebih selesa untuk terus menjalani kehidupan demikian.
Beliau menjelaskan krisis jangka pendek meliputi isu pengusiran dari kediaman asal, kehilangan pekerjaan, ketidakstabilan kewangan sementara atau bencana alam.
Jenis gelandangan ini bersifat sementara dan biasanya dapat diselesaikan dengan bimbingan, bantuan dan sokongan.
Namun yang lebih merisaukan ialah melibatkan krisis jangka panjang, di mana mereka akan terus menjadi gelandangan hampir seumur hidup mereka.
“Bagi gelandangan wanita, kehilangan tempat tinggal sering disebabkan oleh hubungan yang terputus dan dikaitkan dengan trauma yang berulang seperti serangan pasangan, keganasan rumahtangga dan penolakan keluarga sendiri,” tambahnya.
Pun begitu, Rohaiza tidak menolak tanggapan bahawa gelandangan wanita lebih mudah untuk dipulihkan jika program latihan pekerjaan untuk wanita diberikan secara konsisten.
“Program motivasi diri untuk mereka agar bersedia menerima tanggungjawab dengan bekerja demi kelangsungan diri juga perlu diberikan dari masa ke semasa. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu membuka lebih banyak ruang melibatkan anak-anak gelandangan ini.
“Wanita yang tiada tempat tinggal sering menghadapi kesukaran untuk membesarkan anak mereka tanpa sumber pendapatan tetap. Oleh itu, jika masyarakat dapat menaja anak-anak mereka untuk pendidikan, ia akan mengubah hidup gelandangan ini,” jelasnya.
Selesa menjadi gelandangan
Bagi Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Fauziah Mohd Sa’ad, banyak aspek yang perlu diteliti dalam usaha memulihkan kehidupan gelandangan agar dapat berdikari dan hidup di tengah-tengah masyarakat.
Diakui, gelandangan ini boleh kembali ke dalam masyarakat, dengan syarat ada pekerjaan dan gelandangan wanita ini boleh bekerja namun jangan terkejut jika mereka kembali menjadi gelandangan ‘secara sambilan’ disebabkan keputusan wang.
“Perkara ini biasa berlaku dan ia akan terus berulang kerana ada antara mereka yang sudah terlalu lama berada di jalanan,” katanya.
Fauziah menjelaskan ada juga gelandangan wanita yang tidak berminat malah enggan menetap di pusat transit yang disediakan kerajaan kerana bimbang anak mereka diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Untuk makan, mereka tidak bimbang sebab selalu akan ada yang memberi. Untuk keselamatan, mereka selalunya akan jaga antara satu sama lain malah tidur beramai-ramai bagi mengelakkan daripada dirogol, diganggu penagih dadah atau dirompak.
“Bagi yang pernah dirogol dan akhirnya menjadi gelandangan, mereka ini tidak kisah untuk menjadi pelacur sebab perlukan duit bagi kelangsungan hidup walaupun sedar risiko keselamatan dan kesihatan yang akan dihadapi,” katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan