HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Jun 2020

Putrajaya tubuh majlis tindakan pantau pembangunan di 3 Wilayah Persekutuan, kata menteri

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, Majlis Tindakan Pembangunan
Persekutuan di Labuan bagi memantau pembangunan pulau itu.

LABUAN: Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan (MTPP) akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi mengawasi serta memantau pelan pembangunan ekonomi di tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, majlis itu yang akan dipengerusikan beliau sendiri bakal ditubuhkan di Labuan sebagai instrumen pemantauan pembangunan ekonomi pulau tersebut.

“Kami membincangkan keperluan menubuhkan majlis ini pagi tadi, termasuk di Labuan yang akan meletakkan agensi kerajaan persekutuan yang relevan di bawah 1 bumbung (dalam majlis itu) bagi memantau semua projek pembangunan ekonomi kerajaan di sini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat lantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di Wisma Perbadanan Labuan hari ini.

Beliau berkata, perlu terdapat pelan pembangunan baru untuk Labuan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memenuhi keperluan semasa rakyat dan pulau itu.

“Labuan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada sektor minyak dan gas serta kewangan antarabangsa, sebaliknya ia perlu merangkumi lebih banyak sektor yang menjana hasil yang lebih mampan… kita mahu Labuan menjadi dinamik dan mampan,” katanya.

Annuar juga berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menjadi “mata dan telinga kerajaan” akan kekal di Labuan.

“Akan ada elaun tambahan kepada JKKK daripada Perbadanan Labuan, selain elaun tetap daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya.


Tiada ulasan: