BUTTERWORTH: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen yang masih belum mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM digesa segera berbuat demikian bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka.
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini daripada kira-kira 100,000 veteran tentera tidak berpencen, hanya sekitar 70,000 mendaftar dengan jabatan itu.
“Masih ramai lagi yang belum mendaftar. Jadi, sekarang kita dalam proses supaya mereka mendaftar. Baru-baru ini kerajaan umumkan bantuan khas kewangan RM500 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) kepada veteran tentera, termasuk mereka yang tidak berpencen.
“Tapi kerana ramai veteran tidak berpencen yang tidak mendaftarkan diri. Jadi susah untuk kita salurkan pemberian daripada kerajaan…banyak lagi pemberian lain.
“Tabung pahlawan misalnya, kita bagi bantuan kepada veteran kita, kerana tidak mendaftar sukar kita nak salurkan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kebajikan di kediaman veteran ATM Hassim Ahmad, 75, di Jalan Tuanku Putra, Teluk Air Tawar di sini.
Ismail meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan Hassim dan keluarganya, selain turut menyampaikan bantuan keperluan dapur dan sumbangan wang tunai.
Selain bantuan kewangan, Ismail berkata JHEV ATM turut menyediakan program latihan yang membolehkan veteran tentera menceburi bidang perniagaan, sekali gus membantu mereka memperoleh pendapatan tetap.
Sementara itu, Hassim yang menghidap penyakit jantung menzahirkan rasa berbesar hati atas kunjungan itu dan mengucapkan terima kasih kepada Ismail yang juga menteri kanan (Kluster Keselamatan) yang sudi meluangkan masa turun padang melihat kehidupan veteran tentera.
Bapa kepada 4 orang anak, termasuk seorang anak perempuan yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 24 tahun itu berkata, beliau tidak mampu lagi mencari nafkah kerana masalah kesihatannya dan hanya bergantung kepada pemberian anak-anak, bantuan zakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Bantuan yang diperoleh setiap bulan digunakan untuk menyara kehidupan kami sekeluarga termasuk perbelanjaan perubatan anak saya yang OKU dan isteri Hasnah Salleh, 72, yang mengalami masalah saraf.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai pekebun, namun disebabkan masalah kesihatan saya tidak boleh bekerja lagi,” katanya yang berkhidmat selama 16 tahun dalam tentera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan