HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2020

‘WARISAN tidak akan sertai Pakatan Harapan, cuma kerjasama’




KOTA KINABALU: Kebimbangan terhadap senario politik dan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini antara inti pati perbincangan pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN ) bersama kepemimpinan Pakatan Harapan (PH ) semalam.

Presiden WARISAN merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata selain Covid-19, negara turut berdepan COVID-politik yang mengancam kestabilan negara.

Beliau turut menegaskan WARISAN tidak akan menyertai PH walaupun menjadi rakan dan menjalinkan kerjasama dengan gabungan itu.

“Banyak perkara yang kita bincangkan dalam pertemuan semalam terutamanya kebimbangan terhadap politik negara di mana bukan hanya COVID-19 yang perlu kita tangani tetapi juga ‘COVID-politik’.

“Inilah yang menjadi masalah walaupun Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah untuk uruskannya dengan baik,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis sumbangan bekalan perubatan kepada sekolah-sekolah Sabah, di sini hari ini.

Shafie berkata terdapat perkara yang pihaknya harus beri keutamaan.

“Ada isu yang lebih penting di mana kita perlukan pentadbiran yang kukuh dan pastikan urusan pentadbiran Sabah dapat diuruskan dengan baik.

“Keutamaan kita adalah untuk mentadbir negeri dengan baik dan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Mesyuarat Majlis Presiden PH berlangsung di ibu pejabat PKR, di sini petang semalam.

Selain Shafie, mesyuarat terbabit turut dihadiri Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Tiada ulasan: