KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Sabah yakin calon Naib Ketua Armada Nasional, Ceaser Mandela Malakun mampu menjadi jambatan aspirasi antara Borneo dan Semenanjung.
Naib Ketua Armada Bahagian Penampang, Shah Fareed Awang Sham berkata, ketokohan Ceaser Mandela sebagai pemimpin sudah terbukti apabila beliau pernah diberi peluang bertanding di Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Kata beliau, pemimpin muda berkaliber dari negeri bawah bayu itu perlu diberi peluang untuk mengisi kerusi nombor dua dalam Armada Nasional kerana beliau mampu mengeratkan hubungan dua hala sayap parti Bersatu.
“Ceaser Mandela adalah calon tunggal dari Sabah yang bertanding jawatan nombor dua Armada Nasional dan kebolehan beliau tidak boleh dipertikaikan lagi kerana sudah mempunyai trek rekod yang baik dalam politik.
“Saya percaya beliau juga mampu membawa suara anak muda Sabah ke peringkat nasional dan boleh memainkan peranan mengharmonikan hubungan antara ahli Armada di Sabah dan semenanjung,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Ketua Armada Bahagian Sandakan, Faris Fadilah Awang Kamaruddin berpendapat, ahli Armada seluruh negara perlu meletakkan kepercayaan kepada wakil dari Sabah itu untuk bersama memimpin Armada Nasional untuk masa depan.
Jelas beliau, Armada Sabah sepakat mengetengahkan Ceaser Mandela sebagai calon Naib Ketua Armada Nasional memandangkan beliau adalah individu paling layak mewakili sayap parti itu ke peringkat nasional.
“Bagi saya, Ceaser Mandela mempunyai pakej lengkap untuk dipilih sebagai sebahagian dari barisan pimpinan Armada Nasional kerana masih muda, seorang profesional dan berpandangan jauh.
“Armada Sabah dan nasional juga memerlukan seorang pemimpin muda yang mampu membawa negeri serta parti ke arah masa depan lebih cemerlang,” katanya.
Ketua Armada Bahagian Kota Marudu, Kamarul Anuar Ahmad juga bersetuju dengan rakan seperjuangan dan menyokong penuh Ceaser Mandela sebagai wakil Armada Sabah ke peringkat nasional.
Katanya, seluruh ahli Armada Kota Marudu tidak ragu-ragu lagi dengan pencalonannya dan yakin pemimpin muda itu mampu mengalas amanah yang diberikan sekiranya dipilih sebagai Naib Ketua Armada Nasional pada pemilihan Sabtu ini. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan