HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Ogos 2020

Bila sudah tua, tak payahlah buat tohmahan, kata Hamzah

Nizam Zain
MGF130820_ANUGERAH-CEMERLANG-IMIGRESEN-7-681x454
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Majlis 
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 dan Majlis Jasamu 
Dikenang Jabatan Imigresen Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa 
Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK,

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan tidak melakukan tuduhan melulu apatah lagi dakwaan rasuah untuk membeli sokongan wakil-wakil rakyat di Sabah yang kini beralih arah daripada Warisan.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, Dr Mahathir tidak sewajarnya menggunakan tohmahan itu untuk meraih simpati rakyat, lebih-lebih lagi pada pilihan raya nanti.

“Kadang-kala bila kita sudah sampai waktu sudah tua umur macam itu…tak payahlah buat tohmahan..tak elok. Kita kadang-kala kita kena kaji juga berapa lama lagi kita nak tinggal (dalam politik).

“Jadi kalau buat tohmahan yang bukan-bukan ini berdosa,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semasa pelancaran calon Bebas bagi PRK DUN Slim malam tadi yang membuat tuduhan kononnya 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang menyokong bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bagi membentuk kerajaan baharu.

Menurut Dr Mahathir, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut didakwa membayar RM5 juta hingga RM32 juta kepada wakil rakyat pro Warisan untuk menyokong Musa bagi membentuk Kerajaan Negeri Perikatan Nasional (PN) di Sabah.

Dalam pada itu, Hamzah juga menafikan dakwaan Ahli Parlimen Langkawi itu sambil menyifatkan Dr Mahathir cakap tak serupa bikin malah beliau sendiri menghubungi beberapa Ahli Parlimen untuk lompat parti.

“Saya nak maklumkan…saya tak pernah bagi pun sesiapa…dan siapa yang bagi (duit) saya pun tak tahu, sebab itu saya tak mahu menuduh orang.

“Ketika kita tengah berbincang dulu ini dalam Parlimen Mei lalu, saya nak maklumkan, ada ahli-ahli bekas Bersatu…bukan ahli tapi Ahli Parlimen Bersatu yang ditelefon oleh mereka dengan janji macam-macam.

“Sama jer perangai, cakap lain, buat lain,” tegasnya.

Langkah Dr Mahathir menuduh beliau membayar jumlah tertentu itu sebenarnya boleh menyebabkan rakyat mula muak dan hilang percaya kepada perjuangannya dalam politik meskipun dengan menubuhkan parti baharu.

“Saya sudah letak dia begitu tinggi….malah saya ingat rakyat sudah meletak dia begitu tinggi tetapi kalau sudah sampai masanya melakukan banyak sangat tohmahan dan akhirnya orang tak percaya lagi.

“Apa lagi rakyat mahu, lupakan yang lain, cuma fokus Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet yang sekarang ini menyusun untuk memastikan kita akan lebih maju ke hadapan dari sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: