Oleh Athirah Huda Zalhe
Berselindung di sebalik hak asasi jalankan agenda rasis
BANGI – Tindakan Jiao Zong menyiarkan semula propaganda bahaya dan sejarah perjuangan mendiang Lim Lian Geok terhadap pendidikan Cina, seolah-olah satu bentuk pengkhianatan terhadap negara.
13 Ogos lalu, Jiao Zong menerusi kenyataan di Facebook, menyiarkan semula sejarah perjuangan Lian Geok – seorang pejuang kepada pendidikan Cina dan penentang kuat penstrukturan semula sekolah menengah Cina.
Menerusi hantaran Facebook itu, Lian Geok lantang menolak perubahan yang diperuntukkan, dan mengingatkan semua orang Cina bahawa sekolah menengah Cina adalah kubu pertahanan budaya mereka.
Disebabkan kelantangan itu, kerajaan telah melucutkan taraf kewarganegaraa Lian Geok dan membatalkan sijil kelayakan perguruannya.
Ucapan Lian Geok iaitu “langit di atas kepala, bumi di bawah kaki saya, saya Lim Lian Geok tidak pernah menyerah kalah! Hidup dengan bermaruah! Saya tidak pernah melarikan diri,” – telah dianggap epik dan modal pembakar semangat perjuangan pendidikan Cina.
Mengecam tindakan Jiao Zong menyiarkan semula propaganda itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, kenyataan Lian Geok – seorang pemimpin Cina yang dilucutkan kewarganegaraan – adalah satu hasutan yang berbahaya.
“Pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu ditolak keras oleh golongan pelampau dan rasis Cina umpama api dalam sekam, yang akan membakar perpaduan negara jika ianya dibiarkan tanpa tindakan dan penyelesaian yang tegas.
“Bahkan, tindakan mereka (Jiao Zong) menghidupkan semula kenyataan rasis oleh seorang pemimpin Cina yang sudah pun dilucutkan kewarganegaraannya merupakan satu hasutan yang berbahaya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Mahu tindakan diambil ke atas pertubuhan itu, Ustaz Shuhaib menyifatkan Jiao Zong adalah kuasa di sebalik tabir bagi politik Cina yang degil dan tidak mahu tunduk kepada dasar serta prinsip kenegaraan yang terkandung dalam Perlembagaan.
“Mereka tidak mahu dikaitkan langsung dengan apa sahaja perkara yang berteraskan Islam, Melayu dan institusi diraja.
“Mereka berselindung atas nama hak asasi untuk menjalankan agenda rasis ini,” katanya.
Berdasar tinjauan Ismaweb.net, hantaran yang dimuat naik Jiao Zong itu telah mendapat 443 perkongsian setakat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan