Pada Oktober 1996, saya masih remaja, dan masih di Universiti Malaya. Saya ikut mencari duit poket sendiri dengan terlibat sebagai krew teater Anugerah (adaptasi novel Zaharah Nawawi). Waktu itulah saya berkenalan dengan pengamal teater Rosminah Tahir, dan melayan kerenah aktor di belakang pentas antara lain Seniwati Azean Irdawaty. Di sini saya bukan berniat menceritakan tentang arwah Kak Yan, yang merupakan pelakon yang amat berdedikasi, dan canggih.
Dalam rangka promosi teater Anugerah itu, beberapa bulan sebelum pementasan, ada sebuah Malam Puisi. Sebetulnya sudah ada beberapa siri Malam Puisi yang dianjurkan oleh Utusan Malaysia. Orang kuat yang menjadikan Malam Puisi ini menjadi-jadi adalah pengarang sastera dan budaya Utusan tatkala itu, Siti Rohayah Atan. Saya masih ingat betapa beliau gembira dengan kerja siri Malam Puisi ini.
Salah satu ‘kejayaan’ Malam Puisi Utusan oleh usaha beliau tersebut tentulah kerana beroleh kehadiran Dr Mahathir Mohamad.
Tentulah saya masih ingat pada 4 Mei 1996 itu perdana menteri Malaysia ketika itu, Dr Mahathir mendeklamasikan sebuah sajak yang katanya karyanya sendiri. Sajak itu dinukil dan dibacakan sempena Malam Puisi Utusan IV tersebut di di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic).
Sebagai pengarang muda yang sudah sering mendapat ruang di Utusan Malaysia, saya ikut diundang. Waktu itu cerpen saya sudah beberapa kali menang Hadiah Sastera Utusan. Pada tahun 1995 misalnya saya meraih Hadiah Sastera Utusan dengan cerpen ‘Pemberontakan Kedua’. Tahun 1996 itu saya syukur memenangi pula Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank dengan cerpen ‘Perempuan Anggerik’ dan cerpen ‘Api KL Belum Terpadam’. Di Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai penganjur bersama Malam Puisi itu, saya pun sudah mendapat tempat di Dewan Siswa dan Dewan Sastera. Zaharah Nawawi yang menulis novel Anugerah yang diadaptasi ke pentas adalah guru saya juga. Maka saya diberi peluang mahal. Walhasil saya mudah-mudah diberi kad undangan yang ‘glamour’ sekali.
Dr Mahathir menyampaikan sajak bertajuk "Perjuangan Yang Belum Selesai" dan tidak silap saya, Malam Puisi itu hampir sekali dengan ulang tahun ke-50 Umno.
Pada malam itu, antara lain ada juga Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan yang memang akrab dengan Siti Rohayah Atan. Ada juga pelakon Haliza Misbun dan Aida Rahim serta penyanyi M Nasir. Salah satu slot lain Malam Puisi itu ialah satu fragmen pementasan teater bertajuk Anugerah yang diarahkan oleh Rosminah Tahir dengan barisan pelakon Rosyam Nor, Raja Azura, Haliza Misbun dan Mubarak Majid.
Ketika membacakan puisinya, Dr Mahathir ada tersedu, atau tergagap beberapa kali yang kemudian saya sedari adalah kerana rasa sendu. Beliau juga, tidak silap saya menitiskan air mata. Sama ada ia bahagian dari ‘pementasan’ atau tidak, saya kurang sangat peduli pada waktu itu. Saya di awal 20-an dan sedang menikmati liplap kemasyhuran sebagai ‘tetamu undangan’.
Kering estetika
Keesokannya semua akhbar menyiarkan sajak penuh yang bertajuk ‘Perjuangan Belum Selesai’. Saya tidak mahu menurunkan keseluruhan puisi tersebut di sini. Saya akan memetik beberapa bahagian yang menurut saya relevan.
Tentu, pada waktu itu, sebagai orang yang baru dipanggil ‘sasterawan muda’, sajak Dr Mahathir itu serasa kering estetikanya. Malah terasa keras, tidak lunak, kurang halus malah tidak menimbulkan sebarang rasa untuk ia ditangisi. Makanya saya hairan juga kenapa Dr Mahathir berasa sayu. Ini kerana tentulah puisi itu jauh sekali dari keindahan karya Pak Samad Said, apatah lagi kelembutan Chairil Anwar. Bahkan bau T Alias Taib pun tiada.
Pun, ada bahagian sajak Dr Mahathir yang bukannya seorang penyair (beliau adalah doktor menjadi politikus) serasa boleh menggigit. Antara lain Dr Mahathir melantunkan suaranya berbunyi:
“Air mata tiada ertinya/sejarah silam tiada maknanya/sekiranya bangsa tercinta terpinggir dipersenda dan dilupakan/Bukan kecil langkah wira bangsa para pejuang kemerdekaan/bagi menegakkan kemuliaan/dari darjat bangsa/Selangkah bererti mara mengharung sejuta dugaan/Biarkan bertatih/asalkan langkah itu yakin dan cermat bagi memastikan negara merdeka/dan bangsa terpelihara/Air mata sengsara/mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita/Tugas kita bukan kecil/kerana mengisi kemerdekaan/rupanya lebih sukar dari bermandi keringat dan darah menuntutnya/Lagi pula, apalah ertinya kemerdekaan/kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan, mengangguk dan membenarkan/kerana sekalipun bangganya negara/kerana makmur dan mewahnya/bangsaku masih melata/dan meminta-minta di negaranya sendiri.”
Sememangnya mendengar puisi itu dilantunkan sendiri oleh pengarangnya membuatkan saya tidak menentu. Mungkin kerana pada tahun 1996 itu saya masih penyokong Parti Islam Semalaysia (PAS). Maksud saya PAS yang dulu, yang dipimpin arwah ustaz Fadzil Nor. PAS yang tidak mahu duduk sekumpul dengan Umno seperti yang berkali-kali ditegaskan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Bukan PAS yang sekarang. PAS basah GLC. Rasa tidak menentu yang saya maksudkan di awal tadi ada aneka macam. Ada sedikit meluat, menyampah, lantaklah, atau ada rasa eh eh Mahathir dia baca puisi pula.
Akan tetapi, saya juga sudah membaca The Malay Dilemma oleh Dr Mahathir ketika di tahun tiga Universiti Malaya, makanya ada bayangan hujah atau argumen yang sama dalam puisi itu yang entah bagaimana turut membuatkan saya terpukau. Makanya suka dan tidak suka, punggung saya tergam di kerusi saat Mahathir mendeklamasi puisi.
Dalam puisi itu Dr Mahathir ada menyatakan betapa Melayu ini bangsa besar yang “sudah mengembang sayap, menjadi pedagang dan peniaga/selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang”.
Beliau juga menyoal “di manakah silapnya/hingga bangsaku berasa begitu kecil dan rendah diri? Apakah angkara penjajahan?”
Tak beri jawapan
Dr Mahathir tidak menyebutkan salah siapa tentunya dalam sajak tersebut. Puisi tidak memberi jawapan. Dia berhenti di situ. Akan tetapi saya amat terganggu. Saya mencari jawapannya sehingga membaca buku-buku Syed Hussein Alatas, buku-buku Za’ba, dan tulisan-tulisan Munshi Abdullah. Saya memburu jawapannya sehingga tahun-tahun berikut saya asyik mengarang 1515. Novel itu ditakdirkan memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2002. Takdir saya menemukan dengan Dr Mahathir sepentas apabila beliau menyampaikan hadiah tersebut pada 28 Mei 2003. Hari ini saya sudah ada jawapannya, angkara siapa yang menjadikan bangsa Melayu begini (atau begitu). Namun, bukan di sini untuk saya babadkan.
Saya juga masih ingat turut hadir di Malam Puisi itu adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Annuar Musa. Saya tidak tahu apa perasaan, hati dan perutnya ketika mendengar sajak bosnya ketika itu. Mungkin dia juga ikut sayu, mungkin dia juga sedang menimbang estetika buruk karya Dr Mahathir. Saya tidak tahu. Kalau PAS boleh berubah setara ini, sesiapa pun boleh berubah.
Akan tetapi siapa boleh mengagak, bait-bait akhir sajak Dr Mahathir itu semacam relevan kembali tahun 2020 ini. Mungkin semacam boleh dibacakan kembali untuk orang-orang Umno. Bait itu berbunyi:
“Hari ini, jalan ini,
pasti semakin berliku
kerana masa depan
belum tentu menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai kerana
hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya.”
Memang baru-baru ini ketika membaca berita yang Dr Mahathir akan menubuhkan sebuah parti baru, saya ada terfikir; mengapa tidak dinamai parti itu Perjuangan saja? Ini kerana beliau merasakan perjuangannya tidak selesai, selesai.
Ternyata Dr Mahathir memilih kata Pejuang untuk partinya. Saya tidak hendak memuji atau mengeji niatnya memulai kembali kerja politiknya di usia lanjut. Cumanya, selepas Dr Mahathir mengumumkan Pejuang sebagai nama parti barunya, saya gigih membaca kembali puisi ‘Perjuangan Belum Selesai.’
Saya dapat merasai detak Dr Mahathir yang meneriakkan dengan halus dan sungguh perih, ‘perjuangan belum selesai.’ Saya juga kini teringat kembali suara lirih beliau, Mahathir yang tersedu ‘masa depan/belum tentu menjanjikan syurga/bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa.’
Barangkali Dr Mahathir tak akan dapat menyelesaikan perjuangannya yang belum selesai. Dia sudah sangat tua. Namun demikian, paling-paling kita sudah tahu mengapa Melayu susah hendak berjaya.
Meskipun saya masih menganggap puisi itu jauh dari sebuah puisi, tetapi saya tidak nafikan, maksud dan rasa membaca puisi ini pada tahun 1996 dan 2020 berbeza sekali. Pada tahun 1996 ada rasa geli geleman yang sukar diucap. Kini, pada tahun 2020, ada getar amarah dan semangat. Ini kerana pada tahun ini, saya sudah tahu angkara siapa. Saya sudah tahu siapa yang mengkhianat Melayu.
*FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan