PETALING JAYA: Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman mempersoalkan ke mana hilangnya ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa ketika kawasan berkenaan dilanda kontroversi berikutan pendedahan video lambakan kedai judi dan peniaga tanpa lesen oleh pengasas Hot Burger Malaysia Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut baru-baru ini.
“Adakah beliau langsung tidak tahu bahawa kawasan beliau terdapat banyak kedai judi haram seperti didedahkan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Badli berkata, pendedahan dibuat Asri mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Menteri Dalam Negeri dan ketua polis negara.
Katanya, tindakan drastik khususnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi membersihkan kawasan berkenaan daripada lambakan kedai tanpa lesen itu sedikit sebanyak menggusarkan peniaga dan penjaja kecil.
“Kesan tindakan ini menyaksikan terdapat segelintir peniaga dan penjaja kecil yang mencari rezeki di kawasan berkenana kini terjejas mata pencarian.
“Adakah selama ini ahli Parlimen Sungai Buloh tidak menyedari terdapat ramai peniaga kecil yang perlu dibantu khususnya untuk mempermudahkan mereka mendapatkan lesen perniagaan?” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan kepada ahli Parlimen Sungai Buloh untuk memanggil sebilangan peniaga kecil yang terjejas termasuk Asri bagi mengenal pasti masalah dan menghulurkan bantuan sesuai.
“Saya juga berharap beliau mula turun ke kawasan berkenaan bagi menyantuni masalah rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan