UMNO ONLINE
TANJUNG MALIM – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menekankan bahawa naratif dalam membina sentimen rakyat kepada parti amat penting untuk memastikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya, jentera penerangan UMNO mestilah berorientasikan rakyat dan mempunyai naratif yang dekat dengan masyarakat.
“Isu-isu semasa perlu diangkat sebagai bahan naratif dan huraikan fakta ke arah membina sentimen rakyat amat penting.
“Dalam hal ini kita mesti terus mengingatkan rakyat bahawa derita 22 bulan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah sesuatu yang amat menyakitkan maka kita perlu pastikan hal ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Jelajah Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) menerusi Bengkel Komunikasi Strategik Peringkat Negeri Perak.
Jelajah PUMAS yang digerakkan ke negeri-negeri adalah salah satu inisiatif dalam usaha memperkasakan lagi empat peringkat jentera penerangan di seluruh negara.
Perak adalah negeri ketiga selepas Kedah dan Perlis yang dilaksana bersesuaian dengan senario semasa.
Sejurus selepas program, Shahril meluangkan masa menziarahi beberapa penduduk tempatan yang uzur dan warga emas di Kampung Klah Baru.
Antaranya ialah warga emas Pian Yahya, 86, Bibi Lamit, 80 dan Buyong
Kassim, 68, selain Mohd Idham Mohd Idrus, 20, yang terlantar akibat
ditimpa kemalangan awal tahun ini dan Kamaruzzaman Abd Rahim, 50, yang
diserang strok. – UMNO Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan