HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Ogos 2020

LGE pemimpin DAP pertama didakwa selepas PH tumbang

Nizam Zain
MGF07082020_KES-LIM-GUAN-ENG-MAHKAMAH-DUTA_10-681x454
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diiringi pegawai SPRM
hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berhubung skandal 
terowong bawah laut di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ 
FADZIL,

KUALA LUMPUR – Pendakwaan kes salah laku rasuah yang melibatkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Mahkamah Khas Rasuah di sini mendapat perhatian banyak pihak, lebih-lebih lagi ia melibatkan dana awam RM6.3 bilion.

Menariknya kes ini merupakan yang pertama melibatkan pemimpin DAP selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari lalu, pastinya mengundang persepsi negatif terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti pendakwaan terpilih dan berbaur politik.

Kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ini bukan sahaja mendapat perhatian lensa kamera, bahkan tidak kurang pula para penyokong mereka baik dalam kalangan pemimpin DAP mahupun PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Seawal jam 8.30 pagi, lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur mulai sesak dengan kehadiran penyokong dna pemimpin DAP, PKR dan Amanah bagi menyatakan solidariti terhadap Guan Eng.

Antara yang terawal yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy; Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu; Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran dan Speaker DUN Selangor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Penerangan PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Turut menarik perhatian media ialah kehadiran bapa kepada Guan Eng, veteran DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang datang bersama bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua kira-kira jam 8.55 pagi tadi.

Selang 13 minit kemudian, kelibatan Guan Eng yang diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelihatan tiba di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, jam 9.08 pagi tadi.

Tiada ulasan: