HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Ogos 2020

Pembangkang desak kurangkan denda tak pakai pelitup muka

Ahli Parlimen pembangkang hari ini mendesak kerajaan supaya mengkaji semula kadar denda sebanyak RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka tidak memakai pelitup muka.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen, berkata denda sebanyak RM1,000 amat menekankan khususnya bagi golongan B40 dan juga pelajar.

Oleh itu satu petisyen diadakan bagi mendapatkan sokongan semua ahli Parlimen termasuk kerajaan meminta kerajaan mengkaji semula kadar denda berkenaan.

"Turunkan denda RM1,000, kami berpendapat denda RM1,000 terlalu tinggi bagi golongan B40, pelajar dan mereka yang hilang pekerjaan.

"Banyak rintihan daripada orang ramai bahawa denda RM1,000 tidak setimpal, tidak saksama.

"Kita minta denda dikenakan secara berperingkat, kesalahan kali pertama RM250, kesalahan kali kedua mungkin meningkat kepada RM500," kata dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada 23 Julai lalu, kerajaan membuat ketetapan pemakaian pelitup separuh muka akan diwajibkan di pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak bermula 1 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata orang ramai boleh dikompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaru itu.

Jangan ada pilih kasih

“Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata jika Menteri Luar Hishammuddin Hussein yang menghisiap 'vape' di dalam Dewan Rakyat hanya dikenakan denda sebanyak RM250 saja.

Sedangkan mereka yang tidak memakai pelitup muka pula dikenakan denda sebanyak RM1,000.

"Jangan ada pilih kasih dalam melaksanakan undang-undang.

"Oleh itu saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan kami ini dan mengkaji semula kadar denda," katanya.

Untuk rekod 10 Ogos lalu, Hishammuddin berkata dia telah memohon maaf kepada Dewan Rakyat dan membayar kompaun akibat tindakannya menghisap vape ketika sidang Parlimen, minggu lalu.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadapnya.

Tiada ulasan: