HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Ogos 2020

Perjuangan belum selesai selagi tak tukar nama Bukit Melaka

Oleh Siti Fatimah Ishak

 

Kerajaan Melaka jangan tunduk desakan MCA pertahan nama Bukit St Paul

BANGI – Kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Perikatan Nasional diingatkan tidak tunduk desakan dari parti komponen – MCA – yang bersungguh-sungguh mempertahankan nama Bukit St Paul.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihak menyokong penuh penukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya, iaitu Bukit Melaka.

“Alhamdulillah, dalam masa singkat, kita telah menyerahkan sebuah petisyen sokongan kepada pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bagi menyokong usul penukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya – Bukit Melaka.

“Tahniah dan terima kasih khususnya kepada warga Melaka yang menyokong usaha ini, tetapi usaha dan perjuangan kita masih belum selesai selagi nama bukit tersebut tidak dikembalikan kepada nama asalnya.

“Jadi, kita harap kerajaan Melaka tidak tunduk tekanan dengan tekanan dari MCA yang mempertahankan nama Bukit St Paul,” katanya.

Semalam, ISMA Melaka menyerahkan petisyen sokongan kepada PERZIM – yang mendapatkan 16,388 tandatangan rakyat Malaysia.

Petisyen setebal 190 muka surat itu adalah tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap cadangan PERZIM mengembalikan semula nilai sejarah bukit berkenaan, yang awalnya milik kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Petisyen itu dilancarkan secara atas talian di laman web change.org pada 19 Julai lalu, dan masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Terdahulu – MCA Kota Melaka antara pihak yang membantah usul menukar nama Bukit St Paul menjadi Bukit Melaka.

Naib pengerusinya, Datuk Ronald Gan mendakwa, Bukit St Paul harus kekal seperti yang telah diketahui selama ini.

“Tidak masuk akal untuk mengusulkan agar nama ikon sejarah itu diubah. Adakah kita akan menukar nama replika Galleon Portugis Flor de la Mar di Bandar Hilir juga,” dakwanya.

Tiada ulasan: